
KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat persediaan bagi menghadapi cuaca panas termasuk memberi tumpuan terhadap impak fenomena Super El Nino yang dijangka memberi kesan kepada negara, awal tahun depan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, antara persiapan utama ialah menyegerakan bekalan dua aset operasi iaitu pam jentera bomba serta kenderaan utiliti operasi ringan pacuan empat roda.
Beliau berkata, JBPM telah menerima 80 pam jentera bomba dan akan menambah 40 lagi yang dijangka diperoleh hujung bulan ini.
“Bagi kenderaan utiliti operasi ringan pula, sebanyak 200 buah diperoleh yang akan menjadi first responder (pasukan repond awal) kepada kebakaran hutan pada skala kecil.
“Mereka akan pergi dahulu, membuat tinjauan, membuka laluan dan jika boleh dipadamkan, mereka akan padam terus. Ini bagi meningkatkan mobilisasi pasukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sukan Bomba (Sukbom) 2026 di Endah Parade, di sini hari ini.
Nor Hisham berkata, pertambahan aset itu meletakkan JBPM pada tahap kesiapsiagaan yang lebih baik bagi menghadapi kebakaran hutan sepanjang Monsun Barat Daya.
“Fokus utama bomba ialah melihat bagaimana kesan Super El Nino yang akan melanda Pasifik pada hujung November 2026. Kesannya dijangka dihadapi pada penghujung Januari 2027, khususnya di kawasan utara.
“Penumpuan kami ialah kepada persiapan menghadapi impak Super El Nino terhadap cuaca kering negara pada awal Januari tahun depan, tanpa mengabaikan operasi sepanjang Monsun Barat Daya,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana dikhuatiri boleh menyebabkan api merebak dengan cepat dan sukar dikawal.
“Kalau nampak api walaupun kecil, cepat hubungi jabatan supaya kita dapat memberi respons dengan segera kerana kebakaran hutan jika dibiarkan akan cepat merebak,” katanya.
Terdahulu, Nor Hisham merasmikan Sukbom 2026 yang mempertandingkan 11 acara membabitkan penyertaan seramai 1,384 peserta termasuk kontinjen.
Katanya, kejohanan itu turut menjadi medium bagi menentukan penyertaan kontinjen JBPM ke Sukan Polis dan Bomba Dunia 2027 di Perth, Australia berdasarkan prestasi atlet dalam temasya berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Kesan Super El Nino beri kesan awal tahun depan appeared first on Kosmo Digital.




