Kesedaran isu keselamatan siber di Malaysia pengaruhi prospek jangka pendek LGMS, kata Kenanga

LocalTechnology
14 Aug 2025 • 12:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kesedaran isu keselamatan siber di Malaysia pengaruhi prospek jangka pendek LGMS, kata Kenanga

image is not available

14/08/2025 - 12:59

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kesedaran terhadap isu keselamatan siber di Malaysia diramal mempengaruhi prospek jangka pendek LGMS Berhad selain peneriaan pasaran terhadap produk mereka, kata Kenanga Research.

Katanya, industri keselamatan siber Malaysia masih berada di peringkat awal, namun mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang yang kukuh, disokong oleh pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang telah berkuat kuasa pada 26 Ogos 2024.

Firma penyelidikan itu berkata, kerangka perundangan itu dijangka mengukuhkan penggunaan keselamatan siber secara beransur-ansur merentas pelbagai sektor dari semasa ke semasa.

"Memandangkan pasaran masih berada di peringkat awal pembangunan dan pematuhan peraturan sedang dilaksanakan secara berperingkat, kami kekal berhati-hati terhadap trajektori pertumbuhan LGMS," katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research berkata, di Malaysia, sejumlah 2,058 insiden dilaporkan pada suku kedua 2025, peningkatan 24% dari suku tahun ke suku tahun (QoQ) berbanding 1,657 insiden pada suku pertama 2025 dan ia mencerminkan peningkatan ancaman siber dalam negara.

Katanya, walaupun kes serangan ransomware menurun sedikit kepada 13 insiden (-19%), trend semasa menunjukkan aktiviti itu berpotensi meningkat semula dan boleh memberi kesan kepada perniagaan dan sektor kritikal.

Firma penyelidikan itu berkata, peranti StarSentry milik LGMS, iaitu peranti plug-and-play yang berfungsi mengimbas kelemahan siber, dilihat hadir tepat pada masanya memandangkan ancaman ransomware yang semakin meningkat dijangka mendorong permintaan.

Sementara itu, Kenanga Research menyemak semula unjuran keuntungan bersih FY25/FY26 dengan penyusutan sebanyak 21%/14%, masing-masing, seiring dengan penurunan hasil sebanyak 14%/13%, bagi mengambil kira prestasi lemah bagi separuh 2025 dan andaian pertumbuhan yang lebih konservatif untuk FY26.

"Kami masih belum mengambil kira potensi sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu hasil cadangan pengambilalihan 27% pegangan dalam Antarex Holdings Sdn Bhd yang membawa jaminan keuntungan terkumpul sebanyak RM24.5 juta dalam tempoh tiga tahun.

"Kami menyukai LGMS kerana potensi pertumbuhan yang kukuh dalam pasaran keselamatan siber yang masih belum diterokai sepenuhnya selain kelebihan daya saing yang kukuh dan perisian pensijilan proprietari baharu yang dijangka mendorong pertumbuhan pada masa hadapan," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) 86 sen sesaham. - DagangNews.com

standard