

OLEH UFAIRAH MOHD TARMIDZI
KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Komuniti berbasikal di Malaysia terus komited meningkatkan kesedaran awam dan keselamatan penunggang basikal, selaras dengan penggunaan basikal yang semakin meluas sebagai pengangkutan mesra alam.
Bercakap kepada pemberita selepas sesi townhall “Jalan Raya Bukan Milik Geng Basikal?” semalam, Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Khairy Jamaluddin berkata, semua cadangan yang diterima akan digunakan untuk menyediakan laporan kepada pihak berkaitan.
“Kita juga akan adakan sesi dengan pemegang taruh dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya usaha ini dapat dijalankan dengan baik.

“Komitmen komuniti berbasikal penting untuk bantu tingkatkan kesedaran dan sokong usaha negara kurangkan pengeluaran karbon,” katanya.
Presiden Bikeisable Anak Syurga, Wira Sudepja Rabu pula berkata sesi itu memberi ruang kepada masyarakat untuk berkongsi pandangan dalam membantu pembentukan dasar yang menyokong kesejahteraan komuniti berbasikal.
“Ini permulaan yang baik untuk mendidik penunggang menjadi lebih berhemah dan berilmu.
“Aktiviti berbasikal membawa banyak manfaat bukan sahaja dari segi kesihatan, tapi juga untuk gaya hidup sihat,” katanya.

Penunggang basikal, Ahmad Aliff Abdullah Ramlan, 30, pula berkata pendedahan seperti ini penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pihak berkuasa dan orang ramai.
“Penguatkuasa dan pengguna jalan raya perlu sedar bahawa penunggang basikal juga pengguna jalan raya yang sah. Kerjasama semua pihak penting untuk pastikan keselamatan bersama,” katanya.
Terdahulu, sesi berlangsung selama lebih satu jam di IWK Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PKBM dan badan gabungan.

The post Keselamatan penunggang basikal: Komuniti seru kerjasama semua pihak appeared first on Selangorkini.


