Kesemua 6 tapak projek Gamuda di Taiwan terselamat daripada gempa bumi, RHB Investment kekal saranan 'Beli'

4 Apr 2024 • 9:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kesemua 6 tapak projek Gamuda di Taiwan terselamat daripada gempa bumi, RHB Investment kekal saranan 'Beli'

herman

04/04/2024 - 09:55

KUALA LUMPUR 4 April - Kesemua projek pembinaan Gamuda Berhad di Taiwan yang keseluruhannya bernilai RM4.5 bilion terselamat daripada bencana gempa bumi dahsyat di pulau itu semalam.

Menurut RHB Investment Bank, tapak pembinaan bagi enam projek yang dilaksanakan Gamuda terletak jauh dengan sekurang-kurangnya 200 kilometer dari pusat gempa iaitu di selatan daerah Hualien.

Kata firma penyelidikan itu, tapak-tapak kerja Gamuda hanya merasai gempa bumi bermagnitud 4-4.5 pada skala Richter dan keadaan ini dianggap sebagai gempa bumi kecil yang rata-ratanya tidak menyebabkan kerosakan.

"Tiada pindaan dibuat pada anggaran perolehan kami kerana tiada impak buruk yang besar dilihat menjejaskan operasi Gamuda di tapak-tapak kerjanya di Taiwan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Daerah Hualien di wilayah Timur Taiwan dilanda kejadian gempa bumi pada skala Richter antara 7.2 dan 7.5, yang terburuk dalam tempoh 25 tahun.

RHB Investment berkata, setakat akhir Januari lalu, kerja-kerja Gamuda di Taiwan membentuk RM4.5 bilion melalui enam kontrak, atau 19% daripada buku pesanan belum bayar berjumlah RM24 bilion.

Katanya, daripada enam kerja yang sedang dijalankan di Taiwan, kadar penyiapan bagi projek-projek berkaitan landasan kereta api mencapai paras 1% atau kurang.

Hal ini menandakan kerja-kerja besar seperti penebukan terowong mungkin belum dimulakan, kata firma itu.

"Projek berkaitan kereta api di sana melibatkan MRT Kaohsiung (bernilai RM3 bilion dengan saham berkesan 88%) yang diperoleh pada Oktober 2023 dan projek Landasan Kereta Api Bawah Tanah TaoYuan City (bernilai RM1.3 bilion dengan saham berkesan 60%) yang diraih pada Oktober 2022.

"Kerja-kerja lain di Taiwan membabitkan struktur seperti penambakan tembok laut, pembinaan jambatan marin dan binaan tambahannya yang telah siap 75-90% pada Januari," jelasnya.

Menurut Gamuda, selain tidak terjejas dengan gempa di Taiwan, terdapat beberapa faktor pemangkin untuk saham ini dinilai semula iaitu pelaksanaan projek di Malaysia dan Australia berjalan dengan lebih cepat daripada jangkaan, khususnya buat Transit Aliran Massa 3 atau MRT3 yang dijangka dilancarkan pada 4QCY24).

Katanya, Faktor positif lain ialah pemerolehan kerja-kerja pembinaan pusat data secara berterusan di kawasan Lembah Klang, memandangkan Gamuda telah menyiapkan pusat data AIMS Cyberjaya yang berkapasiti 8MW dalam tempoh sembilan bulan.

"Kekal saranan BELI dan harga sasar (TP) mencecah RM6.30," ujarnya.- DagangNews.com