Kesiapsiagaan grid elektrik penting bagi menjamin kestabilan ekonomi Malaysia - TNB

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 4:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kesiapsiagaan grid elektrik penting bagi menjamin kestabilan ekonomi Malaysia - TNB Image from: Kesiapsiagaan grid elektrik penting bagi menjamin kestabilan ekonomi Malaysia - TNB sarah11/11/2026 - 16:19

KUALA LUMPUR 11 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh grid elektrik negara kerana kesiapsiagaan infrastruktur itu penting bagi menjamin kestabilan ekonomi Malaysia serta menyokong matlamat pembangunan tenaga dan perindustrian negara.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Shamsul Ahmad berkata, kemajuan sektor tenaga dan perindustrian Malaysia bergantung kepada keupayaan infrastruktur grid elektrik untuk menyokong pertumbuhan tersebut.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, TNB terus mengutamakan strategi grid-first, iaitu merancang dan memperluas rangkaian elektrik lebih awal bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat, bukannya bertindak selepas keperluan itu berlaku.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada acara Clean Energy Transition Asia (CETA) 2026, yang menjadi platform bagi pelaburan, inovasi dan kerjasama tenaga bersih di Asia serta menghimpunkan lebih 200 peserta pameran.

 

Pelaburan RM43 bilion perkukuh grid nasional

Shamsul berkata, TNB memperuntukkan kira-kira RM43 bilion bagi perbelanjaan modal rangkaian elektrik di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) antara 2025 hingga 2027 untuk memperkukuh grid nasional.

 

Menurutnya, pelaburan itu bertujuan memastikan kebolehpercayaan dan keselamatan bekalan elektrik yang digunakan rakyat setiap hari, di samping menyediakan infrastruktur bagi memenuhi keperluan tenaga negara yang semakin meningkat.

 

“Grid yang lebih kukuh dan berdaya tahan turut membolehkan TNB menyokong peluang ekonomi baharu, termasuk pendigitalan dan pertumbuhan industri, menerusi inisiatif seperti Green Lane Pathway,” katanya.

 

Inisiatif Green Lane Pathway membolehkan pusat data yang layak memperoleh sambungan kepada grid elektrik dengan lebih cepat tanpa menjejaskan kebolehpercayaan bekalan atau piawaian kejuruteraan yang ditetapkan.

 

Perkukuh peranan Malaysia dalam Grid Kuasa ASEAN

Shamsul berkata, pelaburan berkenaan turut memperkukuh peranan Malaysia dalam pembangunan Grid Kuasa ASEAN, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keselamatan tenaga, hubungan rangkaian elektrik dan kerjasama antara negara serantau.

 

Beliau menegaskan bahawa kesiapsiagaan grid elektrik penting bagi memberikan kepastian kepada ekonomi, manakala pelaburan infrastruktur yang dilaksanakan lebih awal dapat menjadi pemangkin kepada pelaburan baharu dan pembangunan jangka panjang negara.- Bernama

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved