PMW raih kontrak RM64.37 juta bekal tiang konkrit bagi perluasan rangkaian pengagihan TNB

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PMW raih kontrak RM64.37 juta bekal tiang konkrit bagi perluasan rangkaian pengagihan TNB Image from: PMW raih kontrak RM64.37 juta bekal tiang konkrit bagi perluasan rangkaian pengagihan TNB johardy11/11/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

IPOH 11 Nov - PMW International Berhad memperoleh kontrak bernilai RM64.37 juta untuk membekalkan tiang konkrit prategasan berputar bagi menyokong perluasan rangkaian pengagihan elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB), dengan penghantaran diteruskan sehingga Disember 2027.

 

Anak syarikatnya, PMW Concrete Industries Sdn Bhd, memeterai perjanjian tambahan kedua itu bagi membekal dan menghantar tiang konkrit pelbagai saiz untuk memenuhi keperluan infrastruktur pengagihan elektrik syarikat utiliti berkenaan.

 

Perjanjian itu menambah semula tempahan ketika nilai penghantaran di bawah kontrak asal menghampiri nilai kontrak sebanyak RM64.37 juta. Setakat 10 November, PMW telah menyampaikan tiang konkrit bernilai RM60.19 juta di bawah kontrak tersebut.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata, perjanjian terbaharu itu mencerminkan keyakinan TNB terhadap keupayaan teknikal, kualiti produk dan kebolehpercayaan penghantaran kumpulan.

 

“Perjanjian tambahan kedua dengan TNB ini mencerminkan kepercayaan dan kerjasama bersama serta kebolehpercayaan keupayaan teknikal, kualiti dan penghantaran Kumpulan PMW dalam memenuhi keperluan khusus rangkaian pengagihan TNB,” katanya dalam kenyataan media.

 

Bekalan diteruskan sehingga Disember 2027

Perjanjian terbaharu itu menyusuli kontrak asal bertarikh 2 Januari 2025 dan kontrak nilai opsyen bernilai RM19.31 juta bertarikh 25 Ogos 2026.

 

Ketiga-tiga perjanjian tersebut mempunyai nilai keseluruhan RM148.05 juta, dengan baki kontrak yang belum dilaksanakan berjumlah kira-kira RM87.86 juta.

 

Lee berkata, baki kontrak itu akan menambah jumlah tempahan semasa PMW dan memberikan keterlihatan hasil yang berterusan, khususnya bagi tahun kewangan berakhir 2027.

 

“Kami menghargai sokongan berterusan TNB menerusi nilai kontrak tambahan RM64.37 juta, selain kontrak nilai opsyen terdahulu sebanyak RM19.31 juta,” katanya.

 

Penyedia penyelesaian infrastruktur bersepadu yang beroperasi merentasi rantaian nilai infrastruktur konkrit itu menjangkakan peningkatan jumlah pengeluaran serta tambahan kapasiti pada tahun hadapan apabila kemudahan pengeluaran yang dirancang siap dibangunkan.

 

Lee berkata, peningkatan pengeluaran dan kapasiti itu akan membolehkan kumpulan mencapai ekonomi skala yang lebih baik bagi memenuhi jumlah tempahan.

 

Bersandarkan rekod PMW melaksanakan projek bekalan elektrik di seluruh negara, Lee berkata, kumpulan turut berhasrat menyumbang kepada segmen infrastruktur elektrik lain, termasuk penyepaduan tenaga boleh baharu dan segmen tenaga baharu yang sedang berkembang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved