
PETALING JAYA: Sehari selepas menghadiahkan emas bersejarah dalam acara keirin, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang gagal meneruskan rentak cemerlang apabila langkahnya terhenti di peringkat suku akhir acara pecut lelaki Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Velodrom Sir Chris Hoy, hari ini.
Pelumba berusia 38 tahun yang menduduki tempat kesembilan pada pusingan kelayakan menerusi catatan masa 9.715 saat (s) itu terpaksa akur apabila tewas dalam kedua-dua perlumbaan suku akhir kepada pelumba Australia, Leigh Hoffman.
Terdahulu, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman mengesahkan kemaraan ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan wakil England, Joseph Truman pada pusingan 1/8 akhir.
Bagaimanapun, Hoffman yang muncul pelumba terpantas pada pusingan kelayakan dengan rekod baharu temasya 9.361s membuktikan keunggulannya apabila menafikan kemaraan Azizulhasni ke separuh akhir.
Turut menerima nasib sama ialah seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terkandas seawal pusingan 1/8 akhir selepas tewas kepada pelumba Australia, Daniel James Barber.
Shah Firdaus sebelum itu melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat ke-10 pada sesi kelayakan dengan catatan masa 9.805s.
Meskipun kempen pecut berakhir lebih awal, Azizulhasni tetap meninggalkan Glasgow dengan penuh bergaya apabila menghadiahkan pingat emas ketujuh negara menerusi acara keirin, sekali gus menamatkan penantian emas sulungnya di pentas Sukan Komanwel.
The post Azizulhasni kandas di suku akhir pecut appeared first on Utusan Malaysia.






