KESM teroka peluang tambah perkhidmatan ujian cip kepada lebih banyak peranti generasi baharu

TechnologyBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 3:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KESM teroka peluang tambah perkhidmatan ujian cip kepada lebih banyak peranti generasi baharu Image from: KESM teroka peluang tambah perkhidmatan ujian cip kepada lebih banyak peranti generasi baharu amree23/09/2026 - 15:21 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept — KESM Industries Berhad melihat peluang penerokaan pertumbuhan baharu daripada infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC) dengan memperluas keupayaan perkhidmatan ujian cip kepada lebih banyak peranti jenis generasi baharu.

 

Pengeluar perkhidmatan ujian semikonduktor bebas itu berkata, antara segmen yang semakin diberi tumpuan ialah cip pengurusan tenaga, modul kuasa dan peranti pengecasan bateri, selain terus mengukuhkan perniagaan semikonduktor automotif sedia ada diusahakan selama ini.

 

Perkembangan itu hadir ketika industri semikonduktor berkembang dipacu permintaan prasarana AI, dengan hasil semikonduktor dunia diunjurkan mencecah AS$1.56 trilion (RM6.36 trilion) pada 2026, disokong permintaan kukuh bagi memori, pemecut AI dan cip rangkaian.

 

"Prospek tersebut membuka ruang untuk kumpulan memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam ujian 'burn-in' iaitu ketahanan cip bagi memenuhi keperluan pelanggan segmen aplikasi AI serta teknologi tenaga maju," kata KESM dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Merujuk keputusan kewangan bagi suku keempat dan tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (FY26), KESM berkata keutamaan seterusnya adalah memperkukuh keupayaan 'burn-in' dan ujian, selain meneroka peluang yang melengkapi kepakaran sedia ada secara berdisiplin.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samuel Lim Syn Soo berkata, kumpulan akan membina berdasarkan kemajuan yang dicapai sepanjang FY26 dengan terus meningkatkan keupayaan, mencari peluang perniagaan baharu serta mengawal disiplin pelaburan dan pertumbuhan.

 

KESM_DagangNews2026

 

Sepanjang FY26 ujar beliau, KESM turut meningkatkan aktiviti 'burn-in' kepada rangkaian peranti semikonduktor yang lebih luas bagi menyokong pertumbuhan pasaran AI dan DC, selain terus memberi tumpuan kepada segmen automotif.

 

"Dari segi prestasi kewangan, hasil bagi FY26 meningkat 6% kepada RM222.8 juta berbanding RM210.5 juta setahun sebelumnya, manakala kumpulan kembali mencatatkan keuntungan bersih RM9.5 juta berbanding kerugian bersih RM8.2 juta pada FY25," katanya.

 

Bagi suku keempat FY26 sahaja, hasil kumpulan meningkat 15% kepada RM61.5 juta daripada RM53.5 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih bertambah kepada RM2.8 juta berbanding hanya sebanyak RM0.2 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Menurut KESM, pemulihan itu turut mencerminkan perkembangan peluang perniagaan baharu termasuk ujian wafer, peningkatan prestasi operasi, usaha menjana nilai daripada aset yang kurang berprestasi serta pelaburan dalam keupayaan untuk memenuhi keperluan pelanggan.

 

Susulan prestasi yang bertambah baik, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua bebas cukai sebanyak 4.5 sen sesaham bagi FY26, menjadikan jumlah dividen interim bagi tahun kewangan itu sebanyak 10.5 sen sesaham, termasuk dividen interim pertama sebanyak 6 sen.

 

"Kumpulan ini menjangka terus meneroka peluang dalam AI dan aplikasi kuasa maju sambil mengukuhkan kedudukannya dalam semikonduktor automotive global," tambah beliau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved