Kestabilan Kerajaan Perpaduan Terancam Jika Rakan Gabungan Bertembung Dalam PRN - Loke

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 8:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kestabilan Kerajaan Perpaduan Terancam Jika Rakan Gabungan Bertembung Dalam PRN - Loke

KUALA LUMPUR - Kestabilan jangka panjang kerajaan perpaduan berisiko terjejas sekiranya semua parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan terus bersaing sesama sendiri dalam pilihan raya negeri (PRN).

Memberikan amaran itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerjasama yang terjalin di Putrajaya perlu diterjemahkan di peringkat negeri. 

Menurutnya, sesebuah gabungan politik sukar bertahan sekiranya setiap parti anggota saling bersaing merebut undi di negeri lain walaupun pada masa sama, berganding bahu dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Ketika menjadi tetamu dalam podcast Ngopi Dengan Zafrul kendalian Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, Loke berkata, kerjasama sesebuah gabungan yang benar-benar kukuh perlu dipertahankan di seluruh negeri dan bukan sekadar di peringkat Persekutuan.

“Saya tidak fikir susunan seperti ini mampu bertahan. Jika sesebuah gabungan mahu terus kukuh di peringkat Persekutuan, kerjasama itu juga perlu diperluaskan ke peringkat negeri,” katanya.

Loke turut mendedahkan, beliau pernah membangkitkan kemungkinan berlakunya pertembungan antara parti-parti yang membentuk kerajaan kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika kerajaan perpaduan ditubuhkan pada 2022.

Beliau mengambil iktibar daripada pengalaman pentadbiran terdahulu pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sambil menegaskan bahawa kerajaan semasa perlu mempelajari punca kejatuhan kedua-dua pentadbiran berkenaan.

Katanya, kedua-dua kerajaan itu pernah berdepan kerumitan politik apabila parti yang menjadi sekutu di peringkat Persekutuan terpaksa berentap dalam pilihan raya negeri di Sabah, Melaka dan Johor.

Sehubungan itu, beliau sejak awal telah mengingatkan agar pertandingan melibatkan banyak penjuru antara parti yang sepatutnya menjadi rakan kerjasama dalam kerajaan Persekutuan dielakkan.

“Saya sudah mengingatkan Saifuddin dari awal bahawa tidak sepatutnya berlaku pertandingan banyak penjuru antara parti yang menjadi rakan dalam kerajaan Persekutuan,” katanya.

Selain kesan terhadap landskap politik, Loke berkata persaingan sesama parti di peringkat negeri turut berpotensi mengelirukan pengundi, khususnya dalam menentukan pihak yang wajar menerima pengiktirafan atas pencapaian kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya mengelakkan pertembungan sedemikian sepanjang tiga tahun pertama pentadbirannya, termasuk dalam enam PRN yang menyaksikan PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding sebagai rakan gabungan. - Getaran, 25 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved