Kesuma bantu pekerja syarikat henti operasi di Terengganu

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 6:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kesuma bantu pekerja syarikat henti operasi di Terengganu

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengambil langkah intervensi awal bagi membantu pekerja terkesan mendapatkan pekerjaan baharu susulan isu penamatan operasi di syarikat yang berpangkalan di Terengganu.

Kesuma dalam satu kenyataan berkata, intervensi itu membuahkan hasil apabila sebahagian pekerja terkesan berjaya ditempatkan di CHEC Construction melalui Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Politeknik Dungun.

Menurut kementerian itu, selain CHEC Construction, tiga syarikat tempatan turut dikenal pasti dan menyatakan kesediaan untuk mengambil pekerja terjejas.

“Perkeso sedang memuktamadkan perincian jawatan yang ditawarkan bagi membolehkan proses padanan pekerjaan diteruskan berdasarkan kelayakan serta kemahiran pekerja,” katanya hari ini.

Pada masa sama, usaha penempatan semula turut dilaksanakan oleh Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu.

“Usaha berkenaan bertujuan memastikan pekerja yang terjejas dapat dipadankan dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian berdasarkan kelayakan, kemahiran dan pengalaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang mengenal pasti pelabur baharu yang berpotensi mengambil alih atau menggantikan operasi di tapak berkenaan.

Kartabya, Kerajaan Terengganu turut terlibat dalam usaha berkenaan, khususnya bagi memudah cara urusan berkaitan tanah pajakan bagi membolehkan proses penggantian operasi dilaksanakan.

“Kesuma akan terus memantau perkembangan ini melalui agensi berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan operasi kilang bioteknologi CJ Bio Malaysia di Kerteh bakal ditamatkan pada 15 Oktober ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai nasib pekerja yang terjejas.

CJ Bio Malaysia, beroperasi di Taman Biopolimer Kerteh dikenal pasti dalam laporan tahunan MIDA sebagai projek bioteknologi bernilai RM1.15 bilion yang diluluskan pada 2012 dan diunjurkan menjana 300 peluang pekerjaan ketika itu.-UTUSAN

The post Kesuma bantu pekerja syarikat henti operasi di Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved