Pengarah syarikat, pekerja kilang didakwa atas pelbagai pertuduhan termasuk cubaan bunuh

LocalPolitics
6 Oct 2026 • 8:04 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Pengarah syarikat, pekerja kilang didakwa atas pelbagai pertuduhan termasuk cubaan bunuh

Seorang pengarah syarikat dan pekerja kilang didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan cubaan membunuh, mencuri lori, dan kesalahan dadah.

​JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat dan pekerja kilang plastik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pelbagai pertuduhan termasuk cubaan membunuh, mencuri lori, menghalang tugas penjawat awam serta memiliki dadah pada hari sama iaitu 30 Sept lepas.

​Chai Min Quan, 37, dan Low Boon Lai, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N. Kanageswari serta Majistret A. Shaarmini, Nur Fatin Mohamad Farid dan Atifah Hazimah Wahab.

​Di Mahkamah Majistret 2, Chai dan Low dituduh bersama-sama mencuri sebuah lori milik seorang lelaki tempatan di kawasan parkir hadapan stesen minyak BHP Plentong, Jalan Mutiara 4, Taman Perindustrian Plentong pada 7.40 pagi, 30 Sept lepas.

​Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

​Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Eizlan Azhar menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang, namun peguam Yap Che Kai mewakili Chai memohon jumlah minimum dan Majistret Shaarmini membenarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Okt.

​Di Mahkamah Sesyen 1, Chai dituduh cuba membunuh Noorulamin Soriani, 42, dengan melanggarnya menggunakan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton di Jalan Bayu 7, Bandar Seri Alam, Masai pada 8 pagi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

​TPR Nur Fatihah Mohd Nizam menawarkan jaminan RM20,000 dengan tiga syarat tambahan, namun Yap memohon jumlah minimum atas alasan anak guamnya yang mempunyai alamat tetap di Kulai tiada risiko melarikan diri.

​Hakim Kanageswari membenarkan Chai diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat melapor diri di balai polis sebulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi, selain menetapkan 18 Nov untuk sebutan semula kes.

​Low yang tidak diwakili peguam juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Fatin atas kesalahan memandu lori secara melulu dan melawan arus serta membuat pusingan ‘U’ yang berbahaya di Jalan Mawar Biru, Pasir Gudang pada 10.20 pagi.

​Pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun, denda hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu, jika sabit kesalahan.

​Majistret Nur Fatin membenarkan Low diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Inspektor S. Vikineswary.

​Di Mahkamah Majistret 3, Low mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghalang Kpl Muhammad Nazmi Ihsan Abdullah menjalankan tugas di kawasan pentadbiran Balai Polis Pasir Putih pada 8.25 pagi.

Pendakwaan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

​TPR Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal menawarkan jaminan RM10,000, namun Low memohon dikurangkan atas alasan berpendapatan RM1,800 sebulan sebagai pekerja kilang plastik sebelum Majistret Atifah menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin serta sebutan semula pada 23 Okt.

​Low turut didakwa memiliki 0.7 gram methamphetamine di tepi Jalan Mawar Biru, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang pada 10.20 pagi dengan pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, jika sabit kesalahan.

​Majistret Atifah membenarkan Low diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selepas pendakwaan menawarkan RM8,000, dan menetapkan 7 Dis ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved