
PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggerakkan langkah intervensi bagi melindungi hak serta membantu 372 pekerja CJ Bio Malaysia Sdn Bhd, yang terkesan susulan penamatan operasi kilang syarikat itu di Kerteh, Terengganu mulai 15 Okt.
Dalam kenyataan hari ini, KESUMA memaklumkan langkah itu dilaksanakan melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bagi membantu peralihan mereka kepada pekerjaan baharu.
“JTKSM memberi tumpuan kepada pematuhan majikan berhubung penamatan perkhidmatan termasuk pembayaran gaji dan faedah penamatan.
“JTKSM turut memantau pelaksanaan pemberhentian pekerja oleh syarikat bagi memastikan faedah yang diberikan kepada pekerja, selaras dengan peruntukan Akta Kerja 1955 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan CJ Bio Malaysia telah memberikan komitmen, untuk memastikan hak dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat pemberhentian adalah terpelihara.
Pada masa sama, PERKESO telah melaksanakan sesi pemprofilan, penerangan mengenai faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), bantuan urusan permohonan faedah serta pendaftaran portal MYFutureJobs.
Menurut kenyataan KESUMA, setakat semalam, sebanyak 224 pekerja telah menyertai sesi berkenaan, termasuk peningkatan kemahiran bagi mengenal pasti peluang pekerjaan yang bersesuaian.
“Sesi ini diteruskan pada sehingga esok bagi melengkapkan proses pemprofilan pekerja terjejas,” menurut kenyataan itu.
CJ Bio Malaysia merupakan syarikat bioteknologi dari Korea, dilaporkan akan menamatkan operasi premisnya di Kerteh secara berperingkat bermula 15 Okt ini berikutan cabaran ekonomi global, termasuk peningkatan harga bahan mentah serta persaingan harga yang sengit daripada pengeluar antarabangsa, khususnya China.
Menurut kenyataan itu lagi, intervensi awal telah membuahkan hasil apabila kejayaan penempatan bagi pekerja yang terkesan di CHEC Construction menerusi Karnival Kerjaya anjuran PERKESO di Politeknik Dungun.
“Tiga syarikat tempatan turut dikenal pasti dan menyatakan kesediaan untuk mengambil pekerja terjejas, manakala PERKESO sedang memuktamadkan perincian jawatan yang ditawarkan, bagi membolehkan proses padanan pekerjaan diteruskan berdasarkan kelayakan serta kemahiran pekerja,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa usaha penempatan semula turut dilaksanakan oleh Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, manakala Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang mengenal pasti pelabur baharu yang berpotensi mengambil alih atau menggantikan operasi di tapak berkenaan, dengan penglibatan kerajaan negeri dalam memudah cara urusan tanah pajakan.






