SUHAKAM dicadang lantik Pesuruhjaya Keharmonian – Kementerian Perpaduan

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 12:17 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) supaya seorang Pesuruhjaya Keharmonian dilantik bagi memberi fokus khusus terhadap aspek pemantauan dan advokasi keharmonian sosial.

Cadangan itu merupakan antara langkah yang akan diambil kementerian dalam memperkukuh usaha menangani isu keharmonian sosial, khususnya dari perspektif hak asasi manusia.

KPN dalam kenyataan berkata, SUHAKAM sememangnya mempunyai fungsi berkaitan penyiasatan aduan pelanggaran hak asasi manusia serta memberi nasihat dan syor kepada kerajaan berkaitan perundangan dan dasar.

Fungsi berkenaan turut merangkumi isu diskriminasi kaum dan agama.

“Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara akan mengadakan perbincangan lanjut dengan SUHAKAM bagi melihat peranan dan penyelarasan yang lebih berkesan dalam menangani isu keharmonian sosial.
“Kementerian juga akan mencadangkan kepada SUHAKAM pelantikan seorang Pesuruhjaya Keharmonian bagi memberi fokus khusus terhadap aspek pemantauan dan advokasi keharmonian sosial daripada perspektif hak asasi manusia,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, KPN berpandangan negara sememangnya sudah mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada yang merangkumi aspek berkaitan 3R, ucapan kebencian (hate speech) dan keharmonian sosial.

Antara peruntukan berkenaan ialah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta peruntukan berkaitan dalam Kanun Keseksaan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi.

Image from: SUHAKAM dicadang lantik Pesuruhjaya Keharmonian – Kementerian Perpaduan

Foto arkib: Utusan

Jelas KPN, larangan terhadap diskriminasi secara asasnya juga sudah termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

“Pada pandangan Kementerian, cabaran utama pada ketika ini bukanlah ketiadaan peruntukan undang-undang berkaitan 3R, tetapi sejauh mana peruntukan sedia ada dapat dikuatkuasakan secara tegas dan konsisten.
“Justeru, Kerajaan melalui rentas agensi perlu meneliti semula keberkesanan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan, jurang atau kekangan dalam proses penguatkuasaan serta mengambil langkah untuk memperkukuh mekanisme tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPN, Datuk Haslina Abdul Hamid akan menilai secara menyeluruh keberkesanan peruntukan dan mekanisme penguatkuasaan undang-undang berkaitan 3R dan ucapan kebencian atau hate speech.

Jawatankuasa berkenaan turut melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Antara perkara yang akan diteliti termasuk takrifan 3R dan ucapan kebencian, bidang kuasa, pertindihan peruntukan serta keberkesanan tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada.

Selain pendekatan perundangan, kementerian turut memperkukuh ekosistem intervensi awal dan mediasi komuniti sebagai mekanisme penyelesaian konflik di peringkat akar umbi.

Setakat ini, seramai 617 Mediator Komuniti telah ditauliahkan, terdiri daripada pegawai perpaduan, wakil pertubuhan bukan kerajaan, wakil penganut agama serta anggota Kawasan Rukun Tetangga.

Bagi tempoh 2023 hingga 2026 pula, sebanyak 521 kes berkaitan komuniti dan kejiranan berjaya diselesaikan melalui mediasi tanpa melibatkan proses mahkamah.

Tambah KPN, pendekatan itu penting bagi memastikan konflik yang boleh diselesaikan melalui rundingan dan mediasi tidak terus berkembang menjadi pertikaian yang lebih besar.

Dalam perkembangan sama, KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan menyediakan Pelan Tindakan Memperkasa Ekosistem Keharmonian Sosial Negara.

Pelan berkenaan akan menggabungkan aspek pencegahan, intervensi awal, mediasi, penguatkuasaan dan pemantauan secara lebih tersusun serta bersepadu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved