PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) menjelang penghujung tahun, termasuk aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan dan kemampanan dana bagi memastikan skim itu terus memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, sekiranya diperlukan, hasil penelitian itu akan dibentangkan di Parlimen bagi cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Menurutnya, keputusan Jemaah Menteri berhubung pelaksanaan skim berkenaan dibuat selepas mengambil kira segenap pandangan rakyat.
"Sehubungan itu, Jemaah Menteri memutuskan bahawa caruman bagi Skim Lindung 24 Jam tidak lagi bersifat mandatori untuk pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.
"Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh pihak PERKESO dalam tempoh yang terdekat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Jemaah Menteri membuat keputusan bahawa pelaksanaan caruman Skim Lindung 24 jam iaitu 0.75 peratus daripada gaji pekerja tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan automatik bagi kemalangan bukan bencana kerja mulai 1 Jun lalu.
Dalam pada itu, Ramanan menegaskan caruman Skim Lindung 24 Jam bagaimanapun kekal mandatori bagi pekerja asing dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, walaupun pelaksanaannya kini secara sukarela bagi pekerja tempatan, skim itu kekal sebagai inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sekiranya mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.
Katanya, PERKESO juga akan terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial selain memastikan rakyat memperoleh maklumat yang jelas dan tepat mengenai manfaat skim berkenaan supaya mereka dapat membuat keputusan terbaik.
Media sebelum ini melaporkan Skim Lindung 24 jam diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bertujuan memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Skim itu dibiayai sepenuhnya menerusi caruman pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji sebanyak RM6,000.
Pada peringkat awal, kadar caruman ditetapkan pada 0.75 peratus daripada gaji bulanan, manakala majikan bertanggungjawab membuat potongan gaji pekerja serta menyalurkan bayaran caruman kepada PERKESO setiap bulan.





