Ketagihan majikan guna pekerja asing jejas peluang graduan TVET

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 11:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketagihan majikan guna pekerja asing jejas peluang graduan TVET
Nordin

IPOH - Sikap segelintir majikan yang terlalu bergantung kepada pekerja asing sehingga kurang memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan menjadi antara faktor utama menjejaskan keberhasilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan graduan TVET sukar mendapat pekerjaan setimpal dengan kelayakan dimiliki, malah menyumbang kepada ketidakpadanan antara kemahiran yang ditawarkan institusi latihan dengan keperluan sebenar industri.

Pengerusi Kumpulan Senior dan Pengasas TVET Swasta Malaysia, Nordin Abdul Malek berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius berikutan terdapat majikan yang lebih cenderung mengambil pekerja asing berbanding melatih dan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan.

Menurutnya, kecenderungan itu dapat dilihat dalam beberapa sektor termasuk pertanian, perladangan, makanan, perhotelan, pembinaan dan perkilangan yang masih bergantung kepada tenaga kerja asing.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila terdapat majikan yang sanggup mengambil pekerja asing tanpa kemahiran kerana beranggapan latihan boleh diberikan selepas mereka mula bekerja, sekali gus mengurangkan kesungguhan untuk mengambil graduan TVET tempatan.

"Majikan sepatutnya membuktikan sejauh mana mereka sudah melatih dan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan sebelum bergantung kepada tenaga kerja asing.

"Masalahnya, ada majikan yang tidak berminat memenuhi syarat latihan ditetapkan kerana mereka lebih selesa mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai kemahiran," katanya kepada Sinar Harian.

Nordin berkata, kelemahan penguatkuasaan terhadap pengambilan pekerja asing, khususnya pendatang asing tanpa izin (Pati), turut menyumbang kepada keadaan itu apabila terdapat majikan yang boleh mendapatkan tenaga kerja dengan bayaran lebih rendah.

Katanya, situasi berkenaan menyebabkan graduan TVET berdepan persaingan tidak seimbang apabila kelayakan dan kemahiran yang dimiliki tidak diterjemahkan kepada ganjaran sewajarnya.

"Sebagai contoh, terdapat kenyataan bahawa kebanyakan graduan TVET di Malaysia menerima gaji sekitar RM1,700, sedangkan sebelum ini masyarakat sering didedahkan dengan gambaran bahawa graduan bidang berkenaan boleh memperoleh pendapatan RM3,000 dan ke atas.

"Lebih mendukacitakan apabila gaji graduan berkemahiran ini dikatakan setara dengan pekerja asing yang tidak mempunyai kelayakan khusus," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menetapkan dasar gaji khusus bagi graduan TVET supaya kelayakan kemahiran yang diperakukan mendapat pengiktirafan sewajarnya berbanding pekerja tanpa kelayakan berkaitan.

Jelasnya, kerajaan juga perlu memperketat penguatkuasaan terhadap majikan dengan mewajibkan mereka membuktikan usaha melatih dan mengutamakan pekerja tempatan sebelum mendapatkan tenaga kerja asing.

"Hala tuju TVET perlu disusun semula dengan mengambil kira keperluan sebenar industri, bukan hanya tertumpu kepada sektor berteknologi tinggi seperti kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.

"Sektor lain seperti perladangan, sekuriti makanan, peruncitan, perhotelan dan dandanan rambut kurang diberi perhatian," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved