Ada syarikat keberatan bayar gaji minimum RM2,000 pada pekerja tempatan, mahu bayar seperti pekerja asing: Johari

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 12:45 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Ada syarikat keberatan bayar gaji minimum RM2,000 pada pekerja tempatan, mahu bayar seperti pekerja asing: Johari

KUALA LUMPUR - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan ada sesetengah syarikat yang keberatan menawarkan gaji bulanan minimum RM2,000 kepada pekerja tempatan, sebaliknya memilih untuk mengekalkan gaji permulaan pada kadar RM1,700, sama seperti pekerja asing.

Menurut Johari, masalah berkenaan turut melibatkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang kini mencecah 400,000 orang di mana mereka kadang kala ditawarkan gaji sama dengan pekerja asing meskipun memiliki kemahiran teknikal.

Beliau berkata gaji median semasa dalam sektor pembuatan ialah RM2,775 berbanding sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebanyak RM4,510.

“Kita berdepan isu besar apabila syarikat yang telah beroperasi di negara ini selama 10 hingga 20 tahun masih mahu mengambil pekerja asing, sedangkan kita mempunyai kumpulan tenaga kerja seramai 400,000 individu, iaitu graduan TVET.

“Sekarang ini terdapat 2.6 juta pekerja asing, kalau ikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) patut kurangkan pekerja asing ini. Kita berdepan dengan syarikat yang nak pekerja asing.

“Kita ada 400,000 graduan TVET, malangnya syarikat ini nak bayar mereka ini dengan gaji pekerja asing,’’ katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata demikian bagi menjawab daripada Tan Hong Pin (PH- Bakri) yang ingin tahu apakah kerajaan mempunyai rancangan untuk memindah keluar industri pembuatan yang kurang berorientasikan teknologi tinggi.

Johari berkata, keadaan itu turut dipengaruhi perbezaan kemudahan tempat tinggal apabila pekerja asing lazimnya ditempatkan di kediaman yang disediakan majikan, manakala pekerja tempatan perlu menanggung sendiri kos sewa rumah.

Beliau berkata, kebergantungan Malaysia terhadap tenaga kerja asing sejak sekian lama kini menjadi isu kritikal, dengan negara ketika ini menggaji 2.6 juta pekerja asing dan ia tidak termasuk pekerja asing tanpa dokumen sah yang ada ketika ini.

Johari mengakui isu itu bukan mudah untuk diselesaikan dan memberi amaran kegagalan memperbaharui dasar sedia ada boleh membawa kesan jangka panjang.

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk diatasi namun jika dasar dan polisi ini tidak diselesaikan, ia akan merosakkan negara pada masa akan datang,’’ tegas.

Beliau memberitahu, bagi syarikat yang berurusan dengan kementerian atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), mereka akan dimaklumkan bahawa pekerja asing hanya sepatutnya diambil bagi pekerjaan 3D, manakala jawatan lain perlu menawarkan kadar gaji yang bersesuaian. - 2 November, 2026

The post Ada syarikat keberatan bayar gaji minimum RM2,000 pada pekerja tempatan, mahu bayar seperti pekerja asing: Johari appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved