Ketegangan geopolitik punca untung bersih Magni-Tech susut 18% kepada RM29 juta bagi 1QFY27

Business & Finance
4 Sep 2026 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ketegangan geopolitik punca untung bersih Magni-Tech susut 18% kepada RM29 juta bagi 1QFY27 Image from: Ketegangan geopolitik punca untung bersih Magni-Tech susut 18% kepada RM29 juta bagi 1QFY27 amree04/09/2026 - 15:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Sept — Ketegangan geopolitik global yang berterusan menjadi cabaran utama kepada Magni-Tech Industries Berhad dengan kemerosotan prestasi pada suku pertama tahun kewangan 2027.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, untung bersih kumpulan susut 17.5% kepada RM29.374 juta bagi suku berakhir 31 Julai 2026, berbanding RM35.586 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kemerosotan itu berlaku ketika persekitaran operasi global berdepan ketidaktentuan termasuk akibat perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang dilihat menjejaskan rantaian bekalan tenaga dunia.

 

"Perkembangan ini turut mendorong kenaikan harga minyak mentah, inflasi, kos pengangkutan dan perdagangan, selain menjejaskan kuasa perbelanjaan pengguna di pasaran global," jelas Magni-Tech.

 

Hasil keseluruhan kumpulan berkenaan bagi tempoh 1QFY27 turut merosot kira-kira 15.6% kepada sebanyak RM318.636 juta, terutama disebabkan sumbangan lebih rendah menerusi banyak segmen utama.

 

Segmen pembuatan pakaian, yang menjana 93.2% kepada hasil, mencatatkan penurunan 17.3% kepada RM296.870 juta berbanding RM358.973 juta, susulan kemerosotan jumlah tempahan daripada pembeli.

 

Magni-Tech_DagangNews2026

 

Susulan itu ujar Magni-Tech, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen tersebut merosot 21.8% kepada RM35.224 juta daripada RM45.017 juta, dipengaruhi kos buruh serta peningkatan kos operasi lain.

 

"Tekanan namun diimbangi sebahagian oleh peningkatan keuntungan pertukaran mata wang asing (forex)bersih RM5.862 juta, pendapatan faedah RM0.534 juta dan hasil dividen RM0.964 juta," tambahnya.

 

Katanya, segmen pembuatan pembungkusan plastik fleksibel dan karton beralun pula menunjukkan prestasi baik apabila hasil naik 16.8% kepada RM21.766 juta, disokong pesanan jualan lebih kukuh.

 

Jelas Magni-Tech, pertumbuhan volum dan pengurusan kos bahan mentah utama seperti kertas kraft, kertas medium dan resin polietilena turut membantu melonjakkan PBT segmen pembungkusan lebih 100%.

 

Dalam perkembangan berkaitan pemegang saham, kumpulan tersebut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 2.8 sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 April 2027.

 

Kumpulan kekal berhati-hati terhadap prospek baki FY27 dan akan terus memantau perkembangan makroekonomi serta mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko gangguan operasi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved