Kos operasi tinggi tidak jejaskan untung bersih PTT Synergy naik 28% cecah RM35.9 juta bagi 4QFY26

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos operasi tinggi tidak jejaskan untung bersih PTT Synergy naik 28% cecah RM35.9 juta bagi 4QFY26 Image from: Kos operasi tinggi tidak jejaskan untung bersih PTT Synergy naik 28% cecah RM35.9 juta bagi 4QFY26 amree01/09/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Sept — Meskipun berdepan kos operasi tinggi akibat kenaikan ketara harga diesel dan ketegangan di Timur Tengah, isu itu langsung tidak menjejaskan untung bersih PTT Synergy Group Berhad melonjak 28% mencecah RM35.9 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026 (4QFY26).

 

Keupayaan positif ini membuktikan keberkesanan strategi kepelbagaian portfolio perniagaan kumpulan yang berjaya menyerap tekanan kos operasi teras menerusi penjanaan aset bernilai tinggi.

 

Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, tekanan kos operasi tersebut sebelum ini banyak memberi impak yang sangat ketara kepada perkembangan margin kasar syarikat itu.

 

"Faktor luaran seperti lonjakan harga diesel dan gangguan rantaian akibat pergolakan geopolitik pernah mengheret keuntungan kasar (GP) PTT Synergy merudum 89% kepada RM1.47 juta , walaupun syarikat mencatatkan perolehan sebanyak RM44.7 juta," katanya.

 

Bagaimanapun ujarnya, kemerosotan dalam keuntungan kasar operasi pembinaan tersebut berjaya ditangani dengan baik tanpa mengganggu prestasi keuntungan bersih akhir kumpulan berkenaan.

 

Bagi suku di bawah tinjauan, keuntungan selepas cukai (PAT) naik kepada RM35.90 juta daripada RM27.95 juta pada suku keempat tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 30% kepada RM34.02 juta berbanding RM26.11 juta sebelum ini.

 

Ketahanan kewangan yang mengagumkan ini disokong terutamanya oleh keuntungan pelarasan nilai saksama berjumlah RM59.19 juta susulan penilaian semula aset PTT Semicon Logistic Hub di Pulau Pinang oleh penilai profesional bebas dimuktamadkan pada 8 Mei 2026 dan ternyata menjadi penyelamat utama dalam mengimbangi kesan prestasi hambar segmen operasi tradisional syarikat.

 

PTT Synergy_DagangNews2026

 

Selain itu, keuntungan kumpulan turut diperkukuh secara signifikan oleh keuntungan daripada transaksi sub-pajakan yang berjumlah RM33.84 juta, manakala transaksi jualan dan pajak-balik diselesaikan dalam tahun kewangan tersebut telah memberikan aliran pendapatan luar biasa yang membantu menyokong prestasi keseluruhan kumpulan.

 

Melihat kepada pecahan segmen, segmen pembinaan yang kekal sebagai penyumbang perolehan terbesar sebanyak RM43.51 juta terpaksa merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM3.85 juta berbanding PBT RM2.48 juta tahun lepas berikutan bebanan kos operasi dan diesel.

 

Sementara segmen pembangunan hartanah mencatatkan LBT yang lebih tinggi iaitu RM10.29 juta berikutan prestasi jualan yang sangat perlahan di projek Mantin, menyaksikan hanya satu unit rumah teres dua tingkat terjual berbanding enam unit pada tahun lalu.

 

Namun, prestasi hambar segmen-segmen tersebut berjaya diimbangi sepenuhnya oleh segmen pergudangan dan logistik yang mencatatkan prestasi luar biasa dengan merekodkan PBT sebanyak RM54.74 juta berbanding LBT RM0.76 juta pada suku keempat FY2025, membuktikan pelaburan strategik mula membuahkan hasil lumayan.

 

Bagi prestasi tahunan kumulatif 12 bulan yang berakhir pada 30 Jun 2026, perolehan keseluruhan PTT Synergy berkembang kukuh 29% kepada RM330.19 juta, menyaksikan PBT kumpulan meningkat 40% kepada RM81.97 juta, manakala PAT kumulatif melonjak 46% kepada RM79.14 juta.

 

Melangkah ke hadapan, prospek PTT Synergy Group bagi FY27 kekal cerah disokong buku tempahan pembinaan yang kukuh bernilai RM224.12 juta serta saluran tender aktif sekitar RM112.59 juta. Di samping itu, syarikat turut berjaya menjana jualan lima unit gudang perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan berjumlah RM260 juta.

 

Bagi memacu pertumbuhan dalam logistik pintar, anak syarikat tidak langsungnya, PTT Robotics Sdn Bhd memeterai perjanjian bernilai AS$7.11 juta bersama vTradEx untuk mengambil alih hak milik perisian pengurusan logistik bersepadu.

 

Secara keseluruhannya, PTT Synergy berada di landasan transformasi tepat daripada sekadar kontraktor pembinaan tradisional kepada peneraju platform infrastruktur perindustrian bersepadu dan logistik pintar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved