Ketiadaan subsidi telur ayam punca untung Teo Seng jatuh 64% kepada RM14.8 juta bagi 1QFY26

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ketiadaan subsidi telur ayam punca untung Teo Seng jatuh 64% kepada RM14.8 juta bagi 1QFY26 Image from: Ketiadaan subsidi telur ayam punca untung Teo Seng jatuh 64% kepada RM14.8 juta bagi 1QFY26 amree12/05/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 MeiTeo Seng Capital Berhad mencatatkan penyusutan ketara keuntungan bersih kumpulan itu sebanyak 64% kepada RM14.8 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26).


Kejatuhan mendadak itu amat besar berbanding RM41.1 juta yang direkodkan setahun lalu, terutama disebabkan ketiadaan subsidi telur daripada kerajaan yang diterima pada tempoh sama tahun sebelumnya.


Bagaimanapun, kumpulan itu masih mengekalkan pertumbuhan hasil apabila pendapatan didapati meningkat kira-kira 9.5% kepada RM184.6 juta berbanding RM168.6 juta dalam suku pertama FY25.


"Pertumbuhan hasil ini disokong peningkatan kukuh kuantiti jualan telur selain jualan yang lebih tinggi bagi produk kesihatan haiwan," kata Teo Seng dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia. 


Menurut syarikat berkenaan, segmen penternakan ayam penelur merekodkan hasil yang mencecah RM155.8 juta, meningkat sebanyak 9.5% tahun ke tahun (YoY) hasil daripada faktor pertambahan jualan telur.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen itu namun merosot 62.2% kepada RM12.2 juta berbanding RM32.4 juta sebelumnya akibat ketiadaan subsidi telur kerajaan yang menyokong keuntungan pada tempoh lalu.


Segmen perdagangan produk berkaitan kesihatan haiwan ujar Teo Seng menunjukkan prestasi yang lebih kukuh apabila PBT melonjak kira-kira 44.4% kepada RM6.9 juta berbanding RM4.8 juta sebelum ini.


"Prestasi positif daripada segmen ini dipacu oleh permintaan secara mampan terhadap pelbagai produk kesihatan haiwan yang semakin menyumbang kepada pendapatan syarikat," jelas kumpulan tersebut.


Bagaimanapun bagi perbandingan suku ke suku (QoQ), kumpulan berkenaan mencatatkan penurunan hasil sebanyak 5.1% daripada RM194.4 juta pada suku keempat FY25 kepada RM184.6 juta dalam 1QFY26.


Tambah Teo Seng, PBT turut didapati merosot kira-kira 56% kepada RM18.9 juta berikutan harga jualan telur yang lebih rendah, pengurangan kuantiti jualan telur serta pendapatan lain semakin berkurangan.


Meskipun berdepan cabaran margin susulan ketidaktentuan geopolitik global dan tekanan kos input, pihak pengurusan berkata, kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek perniagaannya.


“Kumpulan terus memperkukuh kedudukan pasaran menerusi perluasan portfolio telur premium berjenama serta produk hiliran yang berasaskan telur bagi meningkatkan daya tahan margin keuntungan,” katanya.


Selain itu, Teo Seng turut memaklumkan nisbah gearan kekal rendah pada 0.19 kali, manakala aset bersih sesaham meningkat kepada RM1.25 berbanding RM1.23 pada suku sebelumnya. - DagangNews.com

Terkini standard