Ketidaktentuan tarif perdagangan antarabangsa, Kenanga kekal "neutral" terhadap sektor pelabuhan

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2025 • 10:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ketidaktentuan tarif perdagangan antarabangsa, Kenanga kekal "neutral" terhadap sektor pelabuhan

image is not available

10/10/2025 - 10:51

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Kenanga Research mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor pelabuhan dan logistik disebabkan ketidaktentuan berterusan yang berpunca daripada tarif perdagangan antarabangsa.

Katanya, perdagangan global mencatatkan kemerosotan ketara akibat kesan tarif dan pengalihan laluan perkapalan, khususnya yang melibatkan kawasan Laut Merah.

Selain itu, kapal-kapal yang mengelak daripada melalui Terusan Suez di Asia Barat dan sebaliknya berlayar mengelilingi Tanjung Harapan di hujung selatan Afrika telah menyebabkan tempoh pelayaran yang lebih panjang bagi laluan Asia-Eropah.

Keadaan itu katanya, sekali gus mengurangkan kekerapan kapal singgah di pelabuhan milik Westports Holdings Berhad.

Firma penyelidikan itu percaya, Malaysia akan mendapat manfaat daripada peralihan perdagangan global apabila dagangan dunia mula menyusun semula alirannya berikutan kenaikan tarif AS terhadap China.

“Pertumbuhan jumlah kontena di pelabuhan Malaysia dijangka kekal pada kadar satu angka, dengan sedikit manfaat daripada potensi alih dagang susulan ketegangan perdagangan AS-China.

"Bintulu Port Holdings Berhad berpotensi menjadi penerima manfaat terbesar dalam jangka panjang berikutan pendedahan tingginya kepada pasaran eksport gas asli cecair (LNG) ke China,” katanya dalam satu nota kajian.

Sementara itu, Kenanga Research turut menjangkakan sektor logistik tempatan akan mendapat manfaat daripada ledakan e-dagang.

Katanya, pakar industri mengunjurkan jumlah dagangan kasar bagi e-dagang tempatan meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 7% antara 2023 hingga 2027, mencapai RM1.9 trilion pada 2027, berbanding RM1.4 trilion pada 2023.

"Pertumbuhan pesat sektor e-dagang akan merangsang permintaan terhadap hab pengedaran dan gudang bagi memenuhi keperluan penghantaran tepat pada masa, pengalihan operasi pengeluaran untuk membawa pengeluar lebih dekat kepada pelanggan akhir.

"Terdapat juga permintaan kukuh terhadap gudang penyimpanan sejuk susulan pertumbuhan pesat syarikat pemula barangan runcit dalam talian," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, pilihan utama sektor itu ialah Westports Holdings Berhad, berdasarkan pendapatan kukuh yang disokong kontrak jangka panjang dengan pelanggan utama, prospek pertumbuhan jangka panjang melalui projek peluasan Westports 2, serta daya saing harga.

“Kami percaya Westports mampu menghadapi cabaran prospek perdagangan global sebagai antara penerima manfaat utama alih dagang, sambil mengurus dengan berkesan isu kesesakan kontena di limbungan melalui kenaikan kadar caj penyimpanan kontena yang dapat menampung pengumpulan kapal akibat krisis di Asia Barat," katanya. - DagangNews.com

standard