Ketika kos hidup menghimpit, KPT turun padang lindungi mahasiswa

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 4:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketika kos hidup menghimpit, KPT turun padang lindungi mahasiswa
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mengadakan lawatan kerja ke UniMAP pada 25 April lepas.
Image from: Ketika kos hidup menghimpit, KPT turun padang lindungi mahasiswa
Inisiatif Dapur Siswa Madani dan Menu Kasih Siswa berperanan sebagai benteng awal bagi memastikan pelajar tidak terpaksa berkompromi terhadap pemakanan kerana tekanan kewangan.
Image from: Ketika kos hidup menghimpit, KPT turun padang lindungi mahasiswa
Tinjauan ke kiosk BrewLab@UniMAP di bawah prakarsa MySiswa Job On Campus KPT memperlihatkan satu lagi dimensi penting dalam agenda perlindungan mahasiswa.

DALAM landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar, kebajikan mahasiswa kini muncul sebagai agenda yang tidak boleh lagi dipinggirkan. Ia bukan sekadar pelengkap kepada sistem akademik, tetapi menjadi asas penting dalam memastikan pelajar mampu melalui pengalaman pembelajaran secara seimbang, stabil dan bermakna.

Di sebalik kesibukan kuliah, tugasan, tekanan kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat, mahasiswa memerlukan lebih daripada sekadar ruang akademik. Mereka memerlukan ekosistem sokongan yang memahami realiti kehidupan kampus, daripada makanan, kesihatan, peluang pendapatan, kesejahteraan mental hinggalah kepada akses teknologi.

Atas kesedaran itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil pendekatan lebih progresif dengan meletakkan kebajikan pelajar sebagai keutamaan dasar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, melalui lawatan kerja ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 25 April 2026, memperlihatkan bahawa agenda kebajikan mahasiswa bukan lagi berada di atas kertas, sebaliknya sedang diterjemahkan melalui tindakan lapangan yang nyata.

Lawatan kerja yang turut disertai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman memberi mesej penting bahawa pendidikan tinggi tidak boleh hanya diukur melalui kecemerlangan akademik, ranking universiti atau kebolehpasaran graduan semata-mata.

Sebaliknya, kekuatan sesebuah universiti turut bergantung kepada sejauh mana warganya, khususnya mahasiswa, dilindungi melalui ekosistem yang sihat, inklusif dan berdaya tahan.

Antara manifestasi penting komitmen tersebut ialah perasmian Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UniMAP yang dibangunkan dengan kos RM12.3 juta di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesebelas.

Fasiliti moden seluas 3.4 hektar itu kini beroperasi sepenuhnya bagi menyediakan akses perubatan bersepadu kepada warga kampus, merangkumi perkhidmatan perubatan, pergigian, farmasi dan fisioterapi. Lebih penting, kemudahan ini turut direka dengan ciri mesra orang kurang upaya, sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap prinsip pendidikan tinggi yang inklusif.

Dalam konteks kebajikan mahasiswa, kewujudan PKU bukan sekadar kemudahan kesihatan biasa. Ia merupakan sebahagian daripada jaringan perlindungan sosial kampus yang memastikan pelajar tidak terhalang mendapatkan rawatan hanya kerana faktor masa, jarak atau kekangan kewangan.

Inisiatif Medic On Wheels @UniMAP pula memperkukuh lagi pendekatan ini apabila perkhidmatan klinik bergerak disediakan di kolej-kolej kediaman, khususnya di luar waktu bekerja. Langkah ini membuktikan bahawa KPT dan universiti mula bergerak daripada pendekatan menunggu pelajar datang mendapatkan bantuan kepada pendekatan proaktif mendekati pelajar di tempat mereka berada.

Pada masa yang sama, pelancaran Fakulti Komputeran Cerdas (FKC) UniMAP menunjukkan bahawa perlindungan mahasiswa tidak hanya terhad kepada aspek kebajikan asas, tetapi turut merangkumi persediaan mereka menghadapi masa depan pekerjaan.

Fakulti ini menawarkan lapan program akademik dalam bidang Kejuruteraan Komputer dan Sains Data, sekali gus meletakkan UniMAP pada landasan strategik untuk menerajui bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan.

Dalam era ekonomi digital, langkah ini amat penting bagi memastikan graduan bukan sahaja dilindungi semasa belajar, tetapi turut dipersiapkan untuk kekal relevan selepas menamatkan pengajian.

Sokongan industri berjumlah RM7,046,861 daripada tujuh rakan strategik kepada pembangunan hab inovasi dan penyelidikan komputeran cerdas di UniMAP turut memperlihatkan bahawa agenda pendidikan tinggi masa kini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, universiti dan industri.

Ia membuktikan bahawa kebajikan mahasiswa tidak boleh dipisahkan daripada kebolehpasaran, kemahiran masa depan dan akses kepada ekosistem inovasi.

Dalam aspek kos sara hidup pula, tinjauan Menteri Pendidikan Tinggi terhadap pengoperasian Dapur Siswa Madani dan Menu Kasih Siswa di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah menjadi bukti bahawa KPT memberi perhatian langsung kepada isu paling asas dalam kehidupan mahasiswa, iaitu makanan.

Ketika kos makanan menjadi antara komponen utama perbelanjaan harian, inisiatif seperti Dapur Siswa Madani dan Menu Kasih Siswa berperanan sebagai benteng awal bagi memastikan pelajar tidak terpaksa berkompromi terhadap pemakanan kerana tekanan kewangan.

Melalui tinjauan tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi bukan sahaja mendengar taklimat pelaksanaan, tetapi turut melihat sendiri kesiapsiagaan dapur, kualiti penyediaan makanan dan pematuhan kepada garis panduan KPT.

Pendekatan ini penting kerana keberkesanan dasar kebajikan tidak boleh dinilai hanya melalui pengumuman, tetapi mesti dipantau dari segi pelaksanaan sebenar di lapangan.

**media[3503810]**

Dapur Siswa Madani yang menggabungkan aspek kebersihan, kualiti dan harga mampu milik wajar dilihat sebagai model pengurusan kafeteria kampus masa kini. Ia bukan sekadar menyediakan makanan murah, tetapi membina satu sistem keterjaminan makanan yang lebih tersusun dalam kampus.

Menu Kasih Siswa pula melengkapkan usaha ini dengan memastikan pelajar mempunyai akses kepada hidangan mampu milik secara konsisten.

Selain itu, pengurusan Food Bank UniMAP yang turut ditinjau semasa lawatan tersebut memperkukuh lagi jaringan keselamatan sosial mahasiswa. Food Bank bukan sahaja membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan barangan asas, tetapi turut mengurangkan stigma terhadap bantuan kebajikan apabila ia diurus secara lebih tersusun dan bermaruah.

Agenda kebajikan ini turut diperluas melalui penglibatan komuniti universiti sendiri. Majlis Amal Gemilang Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita UniMAP (PISKANITA) 2026 yang berlangsung pada hari sama berjaya mengumpulkan sumbangan melebihi RM260,000 bagi menyokong kebajikan pelajar asnaf dan komuniti berkeperluan khas.

Sumbangan ini akan disalurkan khusus untuk penyediaan komputer riba kepada pelajar asnaf serta menyokong operasi pusat terapi kanak-kanak autistik menerusi Program A-HEART UniMAP.

Kejayaan majlis amal ini membawa makna besar dalam konteks pendidikan tinggi. Ia menunjukkan bahawa kebajikan mahasiswa tidak boleh hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan, tetapi perlu digerakkan melalui budaya kebersamaan antara universiti, industri, alumni, badan kebajikan dan komuniti.

Sumbangan daripada Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng sebanyak RM40,000 melalui kategori Diamond, serta pelaksanaan lebih 50 program kebajikan PISKANITA sepanjang tahun termasuk Gerobok Rezeki, menunjukkan bahawa ekosistem sokongan sosial di universiti boleh diperkasa secara kolektif.

Dalam masa yang sama, tinjauan ke kiosk BrewLab@UniMAP di bawah prakarsa MySiswa Job On Campus KPT memperlihatkan satu lagi dimensi penting dalam agenda perlindungan mahasiswa. Pelajar tidak hanya dibantu melalui bantuan langsung, tetapi turut diberi peluang menjana pendapatan sampingan dan membina kemahiran keusahawanan secara berstruktur.

Dalam suasana kos hidup yang meningkat, peluang bekerja secara sambilan di kampus memberi ruang kepada pelajar untuk menampung perbelanjaan harian tanpa menjejaskan komitmen akademik.

Lebih daripada itu, Job On Campus juga berperanan sebagai platform pembelajaran tidak formal. Pelajar yang terlibat dapat membina kemahiran komunikasi, pengurusan masa, disiplin kerja, kepimpinan dan keusahawanan. Semua ini merupakan kemahiran penting yang semakin diperlukan dalam dunia pekerjaan moden.

**media[3503812]**

Keseluruhannya, tiga pengisian utama lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi ke UniMAP, iaitu perasmian Pusat Kesihatan Universiti dan Fakulti Komputeran Cerdas, tinjauan Dapur Siswa Madani serta Menu Kasih Siswa, dan sokongan terhadap Majlis Amal Gemilang PISKANITA, memperlihatkan satu kerangka besar yang jelas.

KPT sedang membina ekosistem pendidikan tinggi yang menggabungkan kebajikan, kesihatan, keterjaminan makanan, kebolehpasaran, inovasi teknologi dan sokongan sosial dalam satu pendekatan yang lebih menyeluruh.

Inilah makna sebenar pendidikan tinggi yang berpaksikan mahasiswa. Ketika kos hidup menghimpit, mahasiswa tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian. Mereka memerlukan dasar yang hadir dalam bentuk makanan yang mampu dibeli, rawatan yang mudah dicapai, peluang kerja yang selamat, bantuan teknologi yang bermakna dan komuniti kampus yang prihatin.

Dalam konteks ini, KPT tidak sekadar bercakap tentang kebajikan, tetapi turun padang untuk memastikan kebajikan itu benar-benar sampai kepada mahasiswa. UniMAP pula muncul sebagai contoh bagaimana dasar nasional boleh diterjemahkan secara praktikal di peringkat institusi melalui pelaksanaan yang tersasar, kolaboratif dan dekat dengan denyut nadi pelajar.

* Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Perlis.