Bekas bendahari tuntut siasatan penyelewengan persatuan di Kelantan

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 2:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kumaraeswaran menunjukkan dokumen-dokumen bukti terhadap dakwaan yanh dibuat. Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Bekas bendahari Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kelantan (KICCI) menuntut satu siasatan menyeluruh berikutan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan tiga persatuan kaum itu di negeri ini.

Pengadu, Kumaraeswaran Murugaiah turut meluahkan rasa kecewa kerana laporan yang dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Kelantan sejak 2017 lalu dikatakan belum menerima sebarang maklum balas.

Menurut Kumaraeswaran, aduan itu berkaitan pengurusan kewangan yang didakwa tidak melalui prosedur sewajarnya melibatkan tiga persatuan berlainan termasuk satu persatuan sebuah kuil di Tumpat.

“Laporan polis juga sudah dibuat pada 2018 supaya berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya mahu perkara ini disiasat secara telus dan adil supaya integriti persatuan dapat dikekalkan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Beliau mendakwa kes-kes berbeza antaranya melibatkan pimpinan salah satu persatuan yang dikatakan menyeleweng dana program persatuan itu lebih RM30,000 pada 2014, buku cek ditandatangani pihak bukan ahli dan buku resit sengaja dihilangkan.

“Bagi kes babit satu lagi persatuan lain, ada transaksi wang dana masuk dan keluar tanpa pengetahuan ahli walaupun persatuan sudah dibatalkan kali pertama pada 2016 serta kedua pada 2018.

“Saya juga ahli kepada sebuah persatuan kuil di Tumpat dan terbaharu aduan tahun lalu dibuat kepada JPPM membabitkan akaun persatuan ini tidak diaudit,” katanya.

Dalam pada itu, pengadu turut memaklumkan bahawa dia pernah membuat laporan polis berhubung dakwaan ugutan terhadapnya kerana membuat aduan dan mendedahkan perkara tersebut.

“Berkait kes ini juga, saya turut membuat laporan kepada Jabatan Integeriti, Kementerian Dalam Negeri dan JPPM Putrajaya pada 23hb Mei 2019 lalu ke atas seorang pegawai kanan JPPM.

“Saya bukan mahu menyalahkan mana-mana individu, tetapi mahu ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan persatuan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir JPPM Kelantan, Siti Noraysah Alias berkata, pihaknya meneliti setiap aduan yang dibuat secara rasmi kepada jabatan itu.

“Kami ada borang aduan dan setiap aduan perlu bertulis secara rasmi serta akan direkod.

“Ada pegawai yang menjaga rekod itu dan siasatan akan dijalankan ke atas setiap aduan yang diterima,” katanya.

Berhubung status tiga aduan yang disebutkan, katanya, pihak JPPM perlu menyemak kerana kes berlaku sudah lama.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk menyemak semula data kes-kes berkenaan,” katanya.