Ketua Audit Negara sahkan penyata kewangan 2024 Kerajaan Persekutuan, beberapa isu dibangkitkan

06/10/2025 - 18:36
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 6 Okt - Ketua Audit Negara mengesahkan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, menunjukkan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan kerajaan, sambil menegaskan terdapat beberapa isu yang wajar diberi perhatian.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2024 yang dikeluarkan pada Isnin, defisit fiskal negara susut lebih 13% pada tahun 2024 kepada RM79.17 bilion, bersamaan 4.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Laporan itu turut menyatakan, rekod perakaunan kerajaan diselenggara dengan baik dan dikemas kini, dan Ketua Audit Negara telah mengeluarkan pendapat tanpa pengubahsuaian dengan perenggan “perkara lain”.
Pendapat tanpa pengubahsuaian bermaksud penyata kewangan disediakan secara adil dan mematuhi piawaian perakaunan tanpa salah nyata yang ketara.
Sementara itu, perenggan “perkara lain” merujuk kepada maklumat tambahan yang tidak menjejaskan pendapat audit tetapi penting untuk makluman awam.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah Projek Pangkalan Operasi Hadapan (Forward Operation Base) di Pulau Mabul, Semporna, Sabah, yang dijadual siap pada 16 November 2024, namun masih belum disiapkan setakat Julai 2025.
Projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) – Rancangan Pelaksanaan Kedua itu menghadapi kelewatan dalam kerja pembinaan.
Bangunan penempatan semula disiapkan lapan bulan lewat, manakala pembinaan bangunan utama yang menempatkan pejabat pentadbiran, kediaman dan kemudahan lain terlewat kira-kira 8%.
Selain itu, kerja pembinaan jeti yang dicadangkan masih belum dimulakan.
Di peringkat negeri, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu menerima pendapat tanpa pengubahsuaian, manakala Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor diberikan pendapat tanpa pengubahsuaian dengan perenggan perkara lain.- DagangNews.com
standard


