‘Ketua Cabang calon terbaik, tapi orang lain juga calon terbaik’

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 11:09 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Ketua Cabang calon terbaik, tapi orang lain juga calon terbaik’

MELAKA: Ahli PKR diingatkan supaya tidak memboikot atau berharap calon parti kalah sekiranya nama yang mereka cadangkan tidak dipilih untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, sikap sedemikian hanya menunjukkan bahawa kepentingan peribadi dan ego mengatasi perjuangan parti.

Beliau berkata, semua anggota berhak mengemukakan pandangan serta memperjuangkan nama calon pilihan masing-masing sebelum keputusan dibuat, namun perlu akur dengan keputusan pimpinan selepas calon ditetapkan.

“Kita juga jangan bina yang budaya bahawa sesuatu jawatan itu secara automatiknya memberikan hak kepada seseorang untuk menjadi calon. Ya betul, mungkin ketua cabang adalah calon yang terbaik, orang lain juga mungkin calon yang terbaik yang mesti kita cari adalah siapa yang terbaik dan siapa yang paling mampu membawa aspirasi parti mendapatkan kepercayaan rakyat.

“Jadi saya faham semangat di sebalik cadangan Datuk Afdlin Shauki semalam dan saudara dari Pahang supaya calon dikenal pasti lerbih awal supaya mereka memulakan kerja dari sekarang dan bukan hanya tiga sebelum pilihan raya,

“Saya setuju tetapi kita kena ingat dalam masa yang sama, janganlah penamaan awal itu adalah mewujudkan tanggapan bahawa seseorang itu sudah punya hak mutlak untuk jadi calon. Jangan.

“Sebelum keputusan dibuat, kita beri pandangan, kita berhujah, perjuangkan nama-nama yang mungkin saudara saudari ingin kemukakan tetapi selepas keputusan dibuat, kita akur.Kalau calon pilihan kita tak dipilih, jangan kita boikot, jangan kita tarik handbrake jangan berharap calon parti yang dikemukakan itu kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Menurut Zaliha, ahli yang sanggup melihat calon parti sendiri kalah semata-mata mahu membuktikan pandangan mereka betul sebenarnya bukan mempertahankan perjuangan sebaliknya ego sendiri.

Tambah Zaliha, perbezaan pandangan dalam parti perlu disuarakan secara beradab dan berasaskan fakta, dengan matlamat memperbaiki serta memperkukuh perjuangan parti, bukannya merosakkan organisasi.

“Kita perlukan orang yang berani bercakap kerana benar. Pada masa sama, jangan pula perbezaan pandangan dijadikan alasan untuk merosakkan organisasi ini.

“Seperti yang disebut Timbalan Presiden dan Saudara Syariman dari Negeri Sembilan semalam, jangan ada ‘parti dalam parti’ dan kita tidak mahu lagi wujud kem-kem tertentu dalam parti kita.

“Jangan kerana kita marah nyamuk, kita bakar kelambu. Teguran atau kritikan bukanlah satu pengkhianatan tetapi sabotaj juga bukan satu perjuangan.

“Begitu juga apabila sampai soal calon. Kita jangan bina budaya bahawa sesuatu jawatan itu secara automatik memberikan hak kepada seseorang untuk menjadi calon,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Ketua Cabang calon terbaik, tapi orang lain juga calon terbaik’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved