Kalau cemburu dengan Anwar, jumpa ahli psikologi – Nurul Izzah

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 1:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kalau cemburu dengan Anwar, jumpa ahli psikologi – Nurul Izzah

MELAKA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegur pihak yang enggan mengiktiraf peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas antarabangsa hanya disebabkan rasa tidak puas hati atau cemburu terhadap Perdana Menteri.

Beliau berkata, kritikan terhadap kepimpinan negara tidak menjadi masalah, namun ia perlu dibuat secara adil dan bukan berasaskan fitnah, dendam atau rasa cemburu.

Katanya, peranan Anwar dalam membawa suara Malaysia ke peringkat antarabangsa tidak seharusnya dinafikan hanya kerana perbezaan politik.

“Hakikatnya, Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri mewakili suara kita. Beliau membawa suara kita di pentas antarabangsa.

“Nak tak suka, tak sukalah. Tutuplah televisyen. Jangan nafikan pengorbanan dan peranan beliau. Berlaku adillah.

“Nak kritik, kritiklah. Saya pun mengkritik. Tetapi kalau memfitnah, berdendam dan tidak boleh menerima tanpa alasan yang munasabah selain kerana rasa cemburu, lebih baik jumpa ahli psikologi,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Nurul Izzah berkata, negara mempunyai banyak lagi masalah yang perlu diselesaikan dan tidak seharusnya membuang masa melayan pertikaian sedemikian.

“Negara ini banyak lagi masalah yang perlu diselesaikan. Kita tidak ada masa untuk melayan masalah kamu hanya kerana kamu bukan Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat antarabangsa khususnya komuniti Islam yang hidup sebagai minoriti di beberapa negara turut meletakkan harapan terhadap negara ini.

Katanya, kedudukan Malaysia menyebabkan perkembangan di negara ini turut diperhatikan masyarakat luar.

“Mereka pandang kita, mereka harapkan Malaysia ini bersatu, Malaysia ini berjaya. Dan memang hakikatnya, Datuk Seri Anwar jadi Perdana Menteri mewakili suara kita. He’s speaking on the international stage,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah mengingatkan bahawa jawatan dan kedudukan bukan sesuatu yang kekal, sebaliknya amanah yang perlu digunakan untuk meninggalkan hasil serta nilai yang memberi manfaat.

“Tak lama lagi, kita bakal melupakan segala-galanya dan tak lama lagi, segala-galanya turut melupakan kita.

“Ini bukan ratapan, tapi ini peringatan bahawa jawatan berganti, gelaran pudar, nama akan senyap daripada disebut-sebut, tapi yang tegak adalah kerja yang kita tinggalkan dan nilai yang kita pertahankan.

“Itulah yang akan terus hidup selepas kita,” katanya. – UTUSAN

The post Kalau cemburu dengan Anwar, jumpa ahli psikologi – Nurul Izzah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved