
KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan langkah Khazanah Nasional Bhd yang membuat pelaburan sebanyak RM600 juta bagi kerja-kerja pemulihan Carcosa Seri Sultan Abdul Samad di sini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Khazanah sepatutnya melabur dalam peluang pelaburan yang boleh menghasilkan pulangan yang lebih baik.
Sambil mempersoalkan apa kepentingan pelaburan itu, Hamzah berkata adakah pelaburan sebanyak RM600 juta ini boleh membawa pulangan yang sedemikian rupa.
“Saya hairan. Sepatutnya kalau nak Carcosa itu hendak dibangunkan, dibaiki bukan (dengan) minta duit Khazanah Nasional. Bukan itu caranya. Rugi.
“Jadi RM600 juta untuk perbaiki Carcosa, ini kepentingan apa? Saya nak maklumkan (kepada) Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) fikir sikit," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, bangunan Carcosa itu boleh diswastakan kepada syarikat yang mampu termasuk menyewakannya.
"Kita swastakan Carcosa dan bagi kepada syarikat-syarikat yang mampu dan kita bagitahu, kau ambil 30 tahun dan ada pulangan hasil. Kau sewakan mungkin RM2 juta setahun, RM3 juta setahun. Kalau 30 tahun sudah menghampiri RM100 juta.
"Jadi apakah RM600 juta ini boleh buat pulangan sebegitu rupa? Saya takut ini semata-mata silap mata untuk lakukan sesuatu (dengan) RM600 juta," katanya.
Hamzah berkata GLIC harus dikembalikan tujuan asal penubuhan iaitu mengukuhkan daya tahan ekonomi dan menjana pendapatan jangka panjang untuk rakyat.
“Menteri Kewangan II, awak dulu duduk dekat EPF, tahu tujuannya. Bukan untuk repair carcosa.
“GLIC ( Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan) perlu diberikan kebebasan korporat, bebas daripada campur tangan politik. Ini jawapan yang awak berikan kepada kami dulu. Dan setiap keputusan pelaburan mesti dinilai berdasar prestasi. Ini jawapan sama yang awak berikan kepada kami.
“Jika GLIC mengalami kerugian, yang menanggungnya tetap rakyat, seperti pencarum KWSP, pesara KWAP dan pelabur PNB,’’ katanya. - 13 Oktober, 2025
The post Ketua Pembangkang persoal kenapa Khazanah labur RM600 juta baiki Carcosa appeared first on Scoop.

