Ketua Pembangkang Pulau Pinang dibenarkan keluar wad

LocalPolitics
15 May 2026 • 3:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketua Pembangkang Pulau Pinang dibenarkan keluar wad
Muhammad Fauzi Yusoff (tengah) dikejarkan ke HPP selepas bacaan tekanan darahnya mencecah 230 ketika berada di DUN Pulau Pinang pada Khamis.

GEORGE TOWN - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dibenarkan keluar wad pada tengah hari Jumaat selepas menjalani pemantauan selama satu malam di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat tekanan darah tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohamad Yusni Mat Piah berkata, Muhammad Fauzi sebelum itu dikejarkan ke HPP selepas bacaan tekanan darahnya mencecah 230 ketika berada di DUN Pulau Pinang pada Khamis.

Menurutnya, bacaan tekanan darah ADUN Sungai Dua itu bagaimanapun menurun kepada 186 ketika menerima rawatan di unit kecemasan hospital berkenaan.

“Doktor mengambil keputusan untuk menahan beliau di wad bagi pemantauan lanjut walaupun bacaan tekanan darah menunjukkan penurunan ketika menerima rawatan awal.

“Selepas dipantau selama satu malam, keadaan beliau didapati stabil dan dibenarkan pulang ke rumah pada tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, semua bacaan kesihatan Muhammad Fauzi berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang berada di wad.

Tambahnya, doktor turut menasihatkan Muhammad Fauzi supaya berehat di rumah selama beberapa hari bagi memastikan tahap kesihatannya benar-benar pulih.

Pada Khamis, Muhammad Fauzi dilaporkan mengalami tekanan darah tinggi ketika menghadiri persidangan DUN Pulau Pinang sebelum diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan bertugas dan dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut.

Beliau yang pada awalnya berada dalam keadaan baik difahamkan mula lemah pada jam 12.30 tengah hari sebelum diberi rawatan awal.

Susulan daripada itu, beliau dibawa menggunakan ambulans ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut di Unit Kecemasan HPP.