Ketua Pemuda UMNO hadir Muktamar Dewan Pemuda PAS – “Berbeza wadah namun satu akidah”

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 9:55 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kehadiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh pada Muktamar Dewan Pemuda PAS di Hotel Grand Riverview hari ini menarik perhatian, terutama ketika hubungan antara kedua-dua parti kembali menjadi tumpuan dalam perkembangan politik semasa.

Image from: Ketua Pemuda UMNO hadir Muktamar Dewan Pemuda PAS – “Berbeza wadah namun satu akidah”

Akmal hadir bagi memenuhi jemputan sempena Muktamar PAS ke-67, sekali gus menjadi antara pimpinan UMNO yang menghadiri persidangan parti berkenaan, khususnya Muktamar Dewan Pemuda PAS.

Menerusi hantaran di Facebook, Akmal menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu manifestasi semangat ukhuwah walaupun UMNO dan PAS bergerak dalam wadah politik yang berbeza.

“Berbeza wadah, namun satu akidah. Bertemu dalam semangat ukhuwah, melangkah bersama demi memperkukuh ummah.
“Semoga setiap pertemuan membawa penyatuan, dan setiap perjuangan mendapat keberkatan Allah SWT. Selamat bermuktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Insya-Allah pemuda memimpin penyatuan ummah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa kehadiran pimpinan UMNO pada Muktamar PAS kali ini merupakan kali kedua selepas 2019.

Image from: Ketua Pemuda UMNO hadir Muktamar Dewan Pemuda PAS – “Berbeza wadah namun satu akidah”

Foto: MalaysiaGazette

Menurut beliau, Muktamar PAS pada 2019 yang berlangsung di Pahang telah dihadiri Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Untuk kali ini, pimpinan UMNO yang dijangka hadir muktamar Pas adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan pimpinan UMNO Kelantan.
“Manakala Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pula akan hadir Muktamar Pemuda yang berlangsung Khamis,” katanya sebelum ini.

Artikel lain: Muktamar PAS makin dekat, UMNO sah hantar wakil ke Kota Bharu -Zahid

Muktamar Dewan Pemuda PAS merupakan antara platform penting bagi sayap parti itu membincangkan hala tuju, dasar dan gerak kerja Pemuda PAS dalam menghadapi perkembangan politik semasa.

Kehadiran Akmal pada persidangan berkenaan turut memberi ruang kepada pimpinan generasi muda kedua-dua parti untuk memperkukuh hubungan serta membincangkan isu yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya berkaitan masa depan golongan muda dan penyatuan ummah.

Sumber: Facebook Akmal Saleh

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved