
KOTA BHARU: Agenda penyatuan ummah bukan sekadar menjadi hasrat Pemuda Pas dan UMNO, malah dilihat sebagai keperluan penting dalam memperkukuh dan menstabilan negara.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perpecahan tidak membawa kekuatan sebaliknya kebersamaan mampu menjadi asas untuk mengukuhkan negara.
Katanya, usaha menyatukan ummah perlu dimulakan terlebih dahulu di peringkat induk sebelum diperluas kepada kelompok masyarakat yang lebih kecil.
“Perpecahan tidak menguatkan kita tetapi apabila kita bersama, ia lebih menguatkan kita. Jadi, ini bukan soal orang Melayu sahaja tetapi induk dalam negara ini perlu disatukan terlebih dahulu dan Insya-Allah ia akan diikuti oleh kelompok-kelompok yang lebih kecil,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-67 di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhamad Akmal berkata, kehadiran 25 wakil dari UMNO pada muktamar berkenaan turut mencerminkan sokongan terhadap agenda penyatuan yang dibawa kedua-dua parti.
Katanya, tema muktamar ‘Memimpin Penyatuan’ juga mempunyai persamaan dengan agenda yang dibawa Pergerakan Pemuda UMNO.
“Kita rasa semua sudah sedia tahu bahawa agenda kami tidak ada agenda lain selain untuk menyatukan ummah. Sebenarnya tema ini hampir sama dengan Pergerakan Pemuda UMNO. Nak tahu sama macam mana, tunggu minggu depan (Perhimpunan Agung UMNO),” katanya. – UTUSAN
The post Penyatuan ummah agenda stabilkan negara – Pemuda UMNO appeared first on Utusan Malaysia.






