KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM136,115.16 pada 2024.
Datuk Hazri Hassan, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, tidak mengaku bersalah,” katanya yang memakai kemeja putih dan berkot kelabu.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai Ketua Pengarah jabatan itu dan Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan sebanyak RM30,201.16 dan RM105,914 bagi diri sendiri.
Perbuatan itu dilakukan dengan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Lembaga LJT yang membincangkan penyertaan tertuduh dalam Sesi ke-14 Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Global (UN-GGIM) di New York, Amerika Syarikat pada 4 hingga 9 Ogos 2024.
Satu lagi pertuduhan melibatkan Mesyuarat LJT dan Jupem yang membincangkan penyertaan tertuduh dalam mesyuarat bersama Profesor Dr Shaikh Mohamed Zaffar Sadiq Mohamed Ghouse, yang merupakan Naib Presiden serta Pengarah Penasihat dan Inovasi Woolpert, serta Mesyuarat Pleno ke-5 Kumpulan Peringkat Tinggi Rangka Kerja Maklumat Geospatial Bersepadu dan Mesyuarat Biro serta Biro Perluasan Jawatankuasa Pakar di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi pada 29 Januari hingga 4 Februari 2025.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma LJT, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati dan sebuah hotel terkemuka di sini, masing-masing pada 3 Ogos dan 31 Disember 2024.
Dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, berkata bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju sekiranya ikat jamin ditetapkan sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin.
“Termasuk syarat tambahan, menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah,” katanya.
Sementara itu, peguam Muhammad Amin Othman yang mewakili Hazri mengesahkan persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, beliau memohon kepada mahkamah supaya membenarkan anak guamnya membuat dua kali bayaran ikat jamin.
“RM50,000 dibayar hari ini dan selebihnya pada Jumaat, saya bergantung pada budi bicara mahkamah,” katanya yang tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan semua permohonan tersebut termasuk pembayaran ikat jamin berkenaan.
Beliau menetapkan sebutan kes untuk serahan dokumen pada 4 Jun depan.




