Robert Hallock, Timbalan Presiden bahagian Enthusiast Channel di Intel baru-baru ini mengatakan bahawa kelak, lebih banyak cip pemprosesan Intel akan hadir dengan kemampuan untuk dilewahjam ataupun overclocking untuk pengguna kelak.
Kemampuan lewahjam pada siri cip pemprosesan Intel secara lazimnya dikunci disebalik dua perkara khusus, iaitu model cip pemprosesan siri K ataupun KF (cip siri K tanpa cip grafik terbina) dan juga papan induk siri Z, yang menandakan siri model paling premium yang dikeluarkan Intel.
Dalam satu temubual bersama PC Games Hardware, Robert Hallock mengatakan bahawa di masa hadapan kelak, Intel dijangka akan menawarkan lebih banyak pilihan cip pemprosesan yang mempunyai kemampuan lewahjam, dan bukan hanya untuk cip pemprosesan siri “K/KF” dan papan induk siri “Z”.

Walaupun begitu, beliau tidak mengatakan bilakah perkara ini boleh berlaku, khususnya kerana cipset papan induk Intel akan perlu dirombak untuk membolehkan lebih banyak penawaran siri papan induk Intel untuk digunakan untuk tujuan lewahjam.
Siri cip dan papan induk lebih mesra lewahjam ini mungkin boleh dilihat seawal siri cip pemprosesan kelas desktop Intel Nova Lake yang akan diperkenalkan pada hujung tahun ini, tetapi buat masa ini, Robert Hallock belum mengesahkan bilakah penawaran ini akan diperkenalkan.
Sebagai perbandingan, pihak AMD sudahpun memperkenalkan kemampuan lewahjam tidak kira platform apabila mereka mula memperkenalkan generasi pertama siri cip pemprosesan AMD Ryzen untuk desktop bertahun-tahun dahulu.






