
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sebelum ini, kami ada melaporkan mengenai Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang mengalami kecederaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Menerusi gambar dan video yang dikongsikan di media sosial, kelihatan Sulizmie mengalami kecederaan di bahagian muka.
Kecederaan berkenaan berlaku disebabkan rempuhan penduduk yang mendesak pihak berkuasa untuk membenarkan mereka memasuki kawasan operasi terbabit, lapor Berita Harian.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Polis Dang Wangi Cedera, Operasi Pengosongan Bangunan Di Kg Sungai Baru Tegang [Video]
Polis tahan beberapa individu ekoran OCPD Dang Wangi cedera
Ekoran insiden yang berlaku ke atas Sulizme, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan beberapa individu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, OCPD Dang Wangi berkenaan mengalami kecederaan tersebut kerana dibaling objek sewaktu insiden itu.
“Sebagai komander operasi, ini adalah antara cabaran yang perlu dihadapi pegawai saya (Sulizmie) apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan.
“Dalam insiden itu (rempuhan), ada beberapa individu yang ditahan dan kes ini akan disiasat mengikut Kanun Keseksaan,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Dihantar ke HKL untuk rawatan lanjut
Katanya lagi, Sulizmie kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut susulan kecederaan yang dialami.
“Saya difahamkan ada juga orang awam yang mengalami cedera ringan iaitu terseliuh pada tangan dalam rempuhan itu dan kami akan kenal pasti individu berkenaan.”
Sekumpulan individu bukan penduduk Kampung Sungai Baru dikesan cuba buat kecoh
Jelas beliau lagi, polis turut mengesan sekumpulan individu yang dikenal pasti bukan penduduk kawasan berkenaan yang dipercayai cuba membuat kecoh.
“Ada dalam kalangan individu (berkumpulan) di sini dipercayai terbabit dengan aktiviti menimbulkan kekacauan, ‘berkepentingan’ serta mencurigakan.
“Malah, perkara itu diakui penduduk yang mengenal pasti terdapat orang luar turut berkumpul di sini (kawasan operasi) yang buat begini (menimbulkan kekecohan).
“Justeru itu, saya menyeru kepada penduduk Kampung Sungai Baru supaya menjadi mata dan telinga kami dengan melaporkan sebarang aktiviti atau individu mencurigakan,” jelasnya lagi.
Tindakan tegas diambil jika ada pihak cetuskan provokasi hingga ganggu operasi pengosongan bangunan
Memetik Kosmo, beliau turut akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi sehingga mengganggu kelancaran operasi pengosongan melibatkan 37 unit rumah teres itu.
Jelasnya operasi itu dilakukan mengikut perintah mahkamah dan polis akan bertindak ‘very strict, very firm’ jika ada cubaan menentang arahan berkenaan.
“Pengosongan ini perlu dibuat hari ini, apa cara sekalipun. Kalau ada pihak yang sengaja mencetuskan kekacauan, saya akan lawan habis-habisan. Saya tidak akan benarkan perkara seperti ini berlaku.
“Tindakan mencederakan pegawai saya dengan membaling objek adalah perkara yang saya cukup marah. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita hanya melaksanakan undang-undang,” ujarnya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan kekesalan dan menyifatkan serangan terhadap Sulizme itu satu perbuatan keji dan mesti dikecam.
Sehubungan itu, beliau telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan.
“Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalahguna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat.
“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat.” jelasnya.
Source:

![Mekyun Kongsi Apa Kaitan Letak Makanan & Colok Tepi Jalan Dengan Bulan Hantu [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)
