PERKESO Cuma Lindung Anda Di Tempat Kerja? Ini 5 Perlindungan Yang Anda Wajib Tahu

LocalPersonal Finance
11 Sep 2025 • 5:39 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Berdasarkan undang-undang di Malaysia, majikan diwajibkan untuk membuat caruman bulanan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau dikenali sebagai SOCSO bagi setiap pekerja yang layak mengikut kadar yang ditetapkan.

Menerusi caruman ini, pekerja layak mendapatkan tuntutan manfaat apabila terlibat dalam kemalangan atau mengalami sebarang kesakitan.

Namun mungkin ramai kurang tahu, perlindungan ini bukan hanya tertakluk kepada kemalangan yang berlaku ketika waktu bekerja semata-mata.

Ini 5 Fakta Tentang Caruman PERKESO & Hak Pencarum

Walaupun boleh dikatakan setiap pekerja mempunyai caruman PERKESO, namun mungkin tidak ramai yang benar-benar tahu kepentingan caruman ini.

Berikut merupakan lima jenis perlindungan ditawarkan PERKESO yang para pencarum patut tahu bagi memahami hak masing-masing.

#1. Perlindungan Keilatan 24 Jam Sehari

Pekerja yang mencarum PERKESO sebenarnya layak menerima perlindungan keilatan sepanjang masa.

Menerusi Skim Keilatan, pencarum diberi perlindungan 24 jam dari keilatan atau kematian disebabkan oleh perkara yang tiada kaitan dengan pekerjaan.

Sebagai info, penghidap keilatan adalah seseorang yang mengalami suatu keuzuran berkekalan, yang tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh. Sebagai contoh cacat atau lumpuh akibat kemalangan.

Dia juga tidak mampu mencari nafkah menerusi kerja yang berpadanan dengan kekuatan dan tenaganya, iaitu sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan pekerja yang normal. Faedah Skim Keilatan termasuk:

  • Pencen Ilat
  • Bantuan Ilat
  • Elaun Layanan Sentiasa
  • Pencen Penakat
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani/ Vokasional/ Return To Work/ Dialisis
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Faedah Pendidikan (Untuk anak penerima Pencen Ilat/ Pencen Penakat)

image is not available
Sumber gambar: Canva

#2. Pemulihan Percuma

Apabila mengalami kecederaan, pencarum juga boleh menerima faedah sokongan pemulihan dari PERKESO secara percuma.

Di Pusat Rehabilitasi PERKESO, pemulihan secara fizikal dan vokasional diberikan kepada pencarum sehingga mereka dapat kembali ke alam pekerjaan dan masyarakat dengan keupayaan maksimum.

Perkhidmatan yang disediakan termasuk:

  • Pengurusan Hilang Upaya
  • Rehabilitasi Keupayaan
  • Rawatan Neuro-Robotik & Cybernics
  • Rehabilitasi Vokasional
  • Prostetik & Ortotik

Sebarang kos rawatan bagi pencarum di Pusat Rehabilitasi ini akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO jika tempoh caruman mencukupi.

#3. Bantuan Kehilangan Pekerjaan & Pencarian Kerja

Bagi pencarum yang kehilangan pekerjaan, mereka juga layak menerima bantuan dari PERKESO.

Menerusi sistem Insurans Pekerjaan (LINDUNG KERJAYA), pencarum yang kehilangan pekerjaan layak menerima penggantian pendapatan.

Alasan kehilangan pekerjaan yang dilindungi oleh PERKESO termasuk:

  • Pemberhentian kerja biasa.
  • VSS/MSS (skim pemisahan sukarela/persefahaman bersama).
  • Penutupan tempat kerja kerana bencana alam (force majeure).
  • Bankrap atau penutupan perniagaan.
  • Pembuangan kerja secara konstruktif.
  • Peletakan jawatan disebabkan gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja.
  • Peletakan jawatan apabila diarah melaksanakan kerja di luar skop yang membahayakan keselamatan.

Mereka juga boleh mendapatkan bantuan pekerjaan semula dari Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan (ESO) dan perlu berdaftar dengan MYFutureJobs sebelum dipadankan dengan kekosongan jawatan yang sesuai. Pencarum juga boleh menyertai latihan kemahiran.

Pencarum layak menerima faedah SIP sekiranya:

  • Memohon dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan.
  • Memenuhi syarat kelayakan caruman seperti mempunyai bilangan caruman yang mencukupi.
  • Tidak bekerja mengikut definisi kehilangan pekerjaan di bawah Akta SIP.

#4. Pekerja Gig Boleh Mencarum PERKESO

Mungkin ramai yang tidak tahu, namun caruman PERKESO juga boleh dilakukan oleh mereka yang bekerja sendiri seperti pekerja gig.

Dikuatkuasakan pada 1 Mei 2023, terdapat dua kategori di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG KENDIRI) iaitu SPS Padanan Caruman dan SPS Madani.

Antara faedah-faedah yang dapat dinikmati oleh pencarum di bawah skim ini adalah:

  • Faedah Perubatan – Rawatan perubatan percuma di klinik panel atau hospital kerajaan.
  • Faedah Hilang Upaya Sementara – Terima bayaran 80% daripada RM1,550 dengan bayaran harian RM41.33 ketika cuti sakit.
  • Faedah Hilang Upaya Kekal – Terima bayaran 90% daripada RM1,550 dan tertakluk kepada faktor umur dan taksiran peratus hilang upaya kekal.
  • Elaun Layanan Sentiasa – Terima RM500 sebulan jika alami hilang upaya kekal.
  • Faedah Orang Tanggungan – Tanggungan mendapat bayaran bulanan RM1,395 sepanjang hayat (mengikut kategori) jika pencarum meninggal dunia sewaktu bekerja.
  • Faedah Pinjaman Pendidikan – Anak diberi pinjaman pendidikan jika pencarum meninggal dunia atau alami hilang upaya kekal.
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional – Pemulihan fizikal dan vokasional percuma di Pusat REHAB PERKESO dan bekalan alat bantuan.
  • Faedah Pengurusan Mayat – Keluarga menerima RM2,000 bagi pengurusan jenazah.

Malah, terdapat juga Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR PERKESO) bagi para wanita yang tidak bekerja yang melindungi mereka sekiranya terlibat dalam bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

#5. Caruman Juga Untuk Pekerja Asing

Selain itu, pekerja asing termasuk ekspatriat dan pekerja domestik asing juga boleh mencarum di bawah skim Pekerja Asing (LINDUNG PEKERJA) PERKESO, tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Mempunyai pasport yang sah.
  • Mempunyai pas kerja yang sah seperti Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pas penggajian, pas khas dan lain-lain pas kerja seumpamanya.

Terdapat dua skim bagi pekerja asing iaitu Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan.

Namun pendaftaran bagi caruman ini perlu dilakukan oleh majikan dengan caruman dibayar mengikut kadar ditetapkan.

Pendaftaran pekerja asing hendaklah dilakukan oleh majikan dan majikan wajib memastikan caruman dibayar sepenuhnya mengikut kadar yang telah ditetapkan.

image is not available
Sumber gambar: Canva