Ketukan misteri Puncak Alam: Polis tingkat rondaan, pastikan keselamatan penduduk terjamin

21 May 2026 • 6:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketukan misteri Puncak Alam: Polis tingkat rondaan, pastikan keselamatan penduduk terjamin
Tular hantaran di media sosial berkaitan misteri ketukan di beberapa kawasan sekitar Puncak Alam.

SUNGAI BULOH – Polis meningkatkan rondaan dalam memastikan keselamatan masyarakat setempat terus terjamin susulan dakwaan penduduk sekitar Puncak Alam mengenai bunyi ketukan misteri di beberapa kawasan perumahan sekitar kawasan ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihak polis turut memerlukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan segera bagi membantu tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, kerjasama antara polis dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Pihak polis akan sentiasa bersiap siaga dalam memastikan keselamatan masyarakat setempat terjamin.

"Selari dengan moto PDRM iaitu Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, ia perlu diterjemahkan dalam erti kata saling memerlukan di mana polis juga memerlukan bantuan dari segi maklumat yang disalurkan dengan kadar segera dan tepat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular di media sosial berkaitan bunyi ketukan misteri di beberapa kawasan sekitar Puncak Alam sejak kebelakangan ini.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, setakat ini tiada laporan rasmi diterima polis berhubung kejadian berkenaan.

Terdahulu, suasana di kawasan Puncak Alam kecoh apabila penduduk mendakwa terdengar bunyi ketukan di pintu rumah pada waktu awal pagi menerusi beberapa hantaran tular di media sosial.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved