Keuntungan bersih Affin Bank susut 21.7 peratus

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 3:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keuntungan bersih Affin Bank susut 21.7 peratus

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Affin Bank Bhd merosot 21.7 peratus kepada RM113.57 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, susulan peningkatan ketara peruntukan kerugian rosot nilai kredit.

Kumpulan perbankan itu merekodkan peruntukan kerugian rosot nilai kredit sebanyak RM76.44 juta berbanding pelarasan balik peruntukan sebanyak RM34.65 juta pada suku sama tahun lalu.

Selain itu, kerugian rosot nilai aset lain berjumlah RM9.65 juta berbanding pelarasan balik sebanyak RM99,000 sebelum ini.

Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata, jumlah peruntukan rosot nilai yang direkodkan meningkat RM120.8 juta berbanding suku sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, pendapatan bersih kumpulan meningkat 17.6 peratus kepada RM691.19 juta daripada RM587.98 juta, disokong pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam.

“Pendapatan faedah bersih meningkat 24.5 peratus kepada RM258.43 juta daripada RM207.65 juta, manakala pendapatan perbankan Islam berkembang 9.4 peratus kepada RM238.08 juta daripada RM217.55 juta.

“Pendapatan bersih fi dan komisen turut meningkat 8.5 peratus kepada RM80.22 juta daripada RM73.96 juta,” katanya.

Kumpulan itu tidak mengumumkan sebarang pembayaran dividen bagi suku berkenaan.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), keuntungan bersih Affin Bank menyusut 8.7 peratus kepada RM376.59 juta berbanding RM412.56 juta dalam tempoh sama tahun lalu, meskipun pendapatan bersih meningkat 14 peratus kepada RM1.99 bilion daripada RM1.75 bilion.

Prestasi itu terjejas akibat peningkatan peruntukan rosot nilai kepada RM233.92 juta berbanding RM14.76 juta sebelum ini, selain kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak RM33.52 juta dan pengurangan sumbangan syarikat bersekutu sebanyak RM32.19 juta.

Bagaimanapun, keuntungan operasi sebelum peruntukan rosot nilai meningkat 41.5 peratus kepada RM720.07 juta daripada RM508.95 juta, manakala nisbah kos kepada pendapatan bertambah baik kepada 63.87 peratus daripada 70.89 peratus.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, kumpulan itu terus mengekalkan momentum perniagaan menerusi pertumbuhan pembiayaan dan pendapatan yang lebih kukuh, meskipun peningkatan peruntukan rosot nilai memberi tekanan kepada keuntungan.

“Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan berkembang 14 peratus kepada RM86.7 bilion setakat akhir September 2026 berbanding RM76.1 bilion setahun sebelumnya.

“Pertumbuhan itu didorong pengembangan sebanyak 23.7 peratus dalam segmen perbankan perusahaan, 21 peratus dalam perbankan korporat dan 9.9 peratus dalam perbankan komuniti.

“Deposit pelanggan pula meningkat 5.4 peratus kepada RM82.4 bilion, manakala nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) menurun kepada 24.16 peratus berbanding 25.45 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya

Pada masa sama, nisbah pinjaman terjejas kasar bertambah baik kepada 1.76 peratus daripada 1.86 peratus, manakala nisbah modal keseluruhan kumpulan berada pada paras 17.2 peratus setakat akhir September.

Mengulas prospek, beliau berkata, Affin Bank menjangkakan tekanan terhadap margin faedah bersih dan margin keuntungan akan terus menjadi cabaran kepada institusi kewangan, terutama susulan persaingan mendapatkan deposit dan peningkatan hasil.

“Kumpulan itu akan terus memperketat tadbir urus kredit serta mengekalkan pengurusan kunci kira-kira secara berhemat bagi menghadapi tekanan inflasi akibat kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan geopolitik.

“Kumpulan turut memberi tumpuan kepada pengembangan perniagaan pengurusan kekayaan dan pengukuhan hubungan deposit pada 2027, termasuk menerusi kerjasama strategik dengan Bank Central Asia (BCA), Indonesia.

“Kerjasama selama tiga tahun yang dimeterai pada Ogos lalu itu bertujuan memperkukuh perkhidmatan perbankan rentas sempadan dan memperluas capaian pelanggan kumpulan di rantau Asean,” katanya. – UTUSAN

The post Keuntungan bersih Affin Bank susut 21.7 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved