hamden06/11/2026 - 14:28 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Public Bank Bhd mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 3.8% kepada RM1.77 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), susulan peningkatan peruntukan kemerosotan nilai pinjaman dan pembiayaan berikutan normalisasi caj kredit.
Penurunan itu berlaku meskipun hasil bank ketiga terbesar di Malaysia berdasarkan jumlah aset berkenaan meningkat 4.4% kepada RM7.74 bilion berbanding RM7.42 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan sesaham turut merosot kepada 9.13 sen daripada 9.54 sen setahun lalu.
Public Bank berkata, peningkatan sebanyak RM116.4 juta dalam peruntukan kemerosotan nilai pinjaman dan pembiayaan menjadi faktor utama yang menjejaskan keuntungan suku berkenaan.
Selain itu, penurunan pendapatan pelaburan sebanyak RM90.8 juta serta peningkatan perbelanjaan operasi lain sebanyak RM47 juta turut memberi tekanan kepada prestasi kewangan kumpulan.
Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.
Bagaimanapun, pendapatan faedah bersih meningkat 2.9% kepada RM2.44 bilion pada 3QFY2026 berbanding RM2.37 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan 9MFY26 mendatar
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), keuntungan bersih Public Bank sebahagian besarnya kekal mendatar pada RM5.35 bilion, manakala hasil meningkat kepada RM22.67 bilion berbanding RM22.08 bilion setahun sebelumnya.
Dari segi operasi, jumlah pinjaman dan deposit masing-masing mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 6.2% dan 4.1% bagi 9MFY2026.
Kualiti aset kumpulan kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar sebanyak 0.55% setakat akhir September 2026, manakala nisbah pinjaman kasar kepada dana dan ekuiti berada pada paras 84.7%.
Mengulas prospek, Public Bank menjangkakan pertumbuhan ekonomi global kekal sederhana dan tidak sekata antara negara, dengan risiko penurunan berpunca daripada konflik di Timur Tengah, turun naik harga komoditi, pemecahan perdagangan serta keadaan kewangan global yang lebih ketat.
Di peringkat domestik, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, disokong permintaan domestik yang berterusan serta prestasi eksport yang kukuh, khususnya daripada permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Inflasi global jadi cabaran
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, tekanan inflasi global yang lebih tinggi dan ketidaktentuan pasaran kewangan terus menjadi cabaran kepada pertumbuhan perniagaan perbankan.
"Berikutan cabaran luaran yang berterusan, Public Bank akan terus berwaspada terhadap risiko ketika mengembangkan perniagaannya secara proaktif.
"Disokong asas perniagaan yang kukuh dan strategi perniagaan berhemat, kumpulan akan terus berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran serta merebut peluang dalam ekonomi domestik yang semakin berkembang," katanya. - DagangNews.com






