hamden16/11/2026 - 15:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Keuntungan bersih Affin Bank Berhad merosot 21.7% kepada RM113.57 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), berbanding RM145.04 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, susulan peningkatan ketara peruntukan kerugian kemerosotan nilai kredit.
Kemerosotan keuntungan itu berlaku meskipun pendapatan bersih bank berkenaan meningkat 17.6% kepada RM691.19 juta berbanding RM587.98 juta pada 3QFY25, disokong pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan perbankan Islam.
Affin Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, peruntukan kerugian kemerosotan nilai kredit meningkat kepada RM76.44 juta berbanding pelarasan balik sebanyak RM34.65 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Selain itu, peruntukan kemerosotan nilai aset lain berjumlah RM9.65 juta berbanding pelarasan balik RM99,000 sebelum ini.
Secara keseluruhan, bank itu mencatatkan tambahan peruntukan kerugian kemerosotan nilai sebanyak RM120.8 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Pendapatan
Dari segi pendapatan, pendapatan faedah bersih meningkat 24.5% kepada RM258.43 juta berbanding RM207.65 juta, manakala pendapatan perbankan Islam naik 9.4% kepada RM238.08 juta daripada RM217.55 juta.
Pendapatan bersih fi dan komisen turut meningkat 8.5% kepada RM80.22 juta berbanding RM73.96 juta pada tempoh sama tahun lalu. Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), keuntungan bersih Affin Bank susut 8.7% kepada RM376.59 juta berbanding RM412.56 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun pendapatan bersih meningkat 14% kepada RM1.99 bilion daripada RM1.75 bilion.
Penurunan keuntungan bagi tempoh itu disebabkan peningkatan peruntukan kemerosotan nilai kepada RM233.92 juta berbanding RM14.76 juta, selain kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak RM33.52 juta dan pengurangan sumbangan daripada syarikat bersekutu sebanyak RM32.19 juta.
Bagaimanapun, keuntungan operasi sebelum kemerosotan nilai meningkat 41.5% kepada RM720.07 juta berbanding RM508.95 juta, manakala nisbah kos kepada pendapatan bertambah baik kepada 63.87% daripada 70.89%.
Keuntungan terjejas
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, pertumbuhan pembiayaan dan pendapatan terus mencatatkan perkembangan, namun keuntungan terjejas akibat peruntukan kemerosotan nilai yang lebih tinggi.
Beliau berkata, jumlah pinjaman dan pembiayaan kasar bank meningkat 14% kepada RM86.7 bilion setakat akhir September 2026 berbanding RM76.1 bilion setahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu disokong segmen perbankan perusahaan yang meningkat 23.7%, perbankan korporat sebanyak 21% dan perbankan komuniti sebanyak 9.9%.
Mengulas prospek, Affin Bank menjangkakan tekanan terhadap margin faedah bersih dan margin keuntungan dijangka kekal sebagai cabaran berikutan persaingan mendapatkan deposit serta peningkatan hasil. - DagangNews.com






