Untung bersih MISC melonjak 66.9% kepada RM2.86 bilion bagi 9MFY26

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 3:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih MISC melonjak 66.9% kepada RM2.86 bilion bagi 9MFY26 Image from: Untung bersih MISC melonjak 66.9% kepada RM2.86 bilion bagi 9MFY26 hamden27/11/2026 - 15:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov - MISC Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih yang boleh diatribusikan kepada pemegang ekuitinya sebanyak 66.9% kepada RM2.86 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), berbanding RM1.71 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi itu didorong keuntungan operasi lebih tinggi, keuntungan daripada pelupusan kapal yang meningkat serta peruntukan kemerosotan nilai lebih rendah sepanjang tempoh berkenaan.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 39.3% kepada RM11.61 bilion berbanding RM8.33 bilion sebelumnya, disokong terutamanya oleh prestasi lebih kukuh segmen Pengangkutan Petroleum dan Produk susulan kadar tambang serta hari operasi yang lebih tinggi.

 

Peningkatan hasil turut disumbangkan segmen Perniagaan Luar Pesisir menerusi kemajuan pembinaan lebih tinggi bagi sebuah Unit Penyimpanan dan Pemunggahan Terapung (FSO) serta Unit Pengeluaran Terapung (FPU), selain projek dalam segmen Kejuruteraan Marin & Berat yang memasuki fasa pembinaan lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan hasil kumpulan diimbangi prestasi lebih rendah segmen Aset & Penyelesaian Gas, susulan ketiadaan hasil pembinaan yang diiktiraf dalam tempoh semasa, selain hari operasi lebih rendah akibat pelupusan kapal, kapal yang tidak beroperasi serta kadar sewaan lebih rendah.

 

Keuntungan operasi kumpulan meningkat 33.5% kepada RM3.03 bilion berbanding RM2.27 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Aliran tunai daripada aktiviti operasi turut meningkat 28.2% kepada RM4.82 bilion berbanding RM3.76 bilion, terutamanya disebabkan hasil dan keuntungan lebih tinggi daripada segmen Petroleum.

 

Suku ketiga 2026

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), keuntungan bersih yang boleh diatribusikan kepada pemegang ekuiti meningkat 77.5% kepada RM961.8 juta berbanding RM541.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil suku tahunan meningkat 40.2% kepada RM3.92 bilion berbanding RM2.80 bilion, manakala keuntungan operasi melonjak 64.9% kepada RM1.08 bilion berbanding RM656.5 juta.

 

Dalam perkembangan operasi, MISC terus memperkukuh portfolio kontrak jangka panjang dan meneroka peluang pertumbuhan baharu menerusi kerjasama strategik sepanjang suku ketiga.

 

Antara perkembangan utama ialah penyerahan dua kapal pengangkut gas asli cecair (LNGC) kepada QatarEnergy menerusi kerjasama konsortium, sebagai sebahagian daripada program pembaharuan armada dan pertumbuhan kontrak kumpulan.

 

MISC turut memperoleh kontrak sewaan selama 10 tahun daripada Malaysia LNG Sdn Bhd bagi sebuah kapal pengangkut LNG baharu berkapasiti 18,700 meter padu, dengan tempoh sewaan dijangka bermula pada 2028.

 

Selain itu, kumpulan menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama dengan MHB dan Wison New Energies bagi meneroka peluang dalam kemudahan pengeluaran luar pesisir, LNG terapung (FLNG), projek pembinaan kapal baharu dan penukaran kapal serta penyelesaian pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

 

Selepas suku berkenaan, MISC memperoleh lima lagi tempahan pembinaan kapal pengangkut LNG baharu daripada PETRONAS LNG Ltd pada Oktober 2026, masing-masing dengan tempoh sewaan selama 20 tahun yang dijadualkan bermula pada 2030.

 

Prospek

Mengenai prospek, kumpulan menjangkakan kadar sewaan segera kapal pengangkut LNG kekal tertekan dalam tempoh terdekat apabila bekalan kapal terus melebihi ketersediaan kargo, susulan gangguan bekalan LNG di Timur Tengah.

 

Bagaimanapun, kadar sewaan jangka panjang dijangka kekal berdaya tahan, disokong pertumbuhan kapasiti pencairan LNG yang kukuh dan dijangka meningkatkan permintaan pengangkutan LNG, selain kecenderungan pemilik kapal memilih kontrak sewaan jangka panjang.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Zahid Osman berkata, kumpulan MISC meneruskan momentum kukuh suku kedua ke suku ketiga, dengan mencatatkan keputusan lebih baik serta mencapai pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 80% dan 37% masing-masing bagi pendapatan dan aliran tunai operasi dalam tempoh sembilan bulan pertama.

 

“Perniagaan Petroleum kami terus memanfaatkan keupayaan komersial yang tangkas untuk merebut peluang susulan kadar sewaan kapal tangki yang tinggi, manakala kecemerlangan pelaksanaan projek dalam segmen Luar Pesisir serta Kejuruteraan Marin & Berat menyokong prestasi cemerlang Kumpulan.

 

“Keputusan ini mencerminkan kekuatan portfolio terpelbagai kami serta komitmen warga kerja untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved