Mi Technovation diyakini catat pertumbuhan positif pada 3QFY25 disokong segmen peralatan semikonduktor, kata PublicInvest

Business & Finance
18 Aug 2025 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mi Technovation diyakini catat pertumbuhan positif pada 3QFY25 disokong segmen peralatan semikonduktor, kata PublicInvest

image is not available

18/08/2025 - 10:30

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Mi Technovation Berhad diyakini mengekalkan momentum pertumbuhan pada 3QFY25 didorong pertambahan berterusan dalam segmen perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU).

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, segmen mobiliti dan peranti akan terus menyokong prestasi SEBU dan memperkukuh aliran pendapatan kumpulan.

Katanya, unjuran positif ini hadir selepas keputusan 2QFY25 yang mencatatkan prestasi terbaik setakat ini, dengan keuntungan teras mencecah RM28.6 juta, meningkat 8.3% tahun ke tahun selepas mengambil kira item bukan teras.

Pendapatan kumpulan melonjak 21.2% , dipacu oleh jualan SEBU yang lebih tinggi, khususnya bagi mesin Mi Series Die Sorter yang banyak digunakan dalam segmen pertumbuhan tinggi seperti mobiliti dan peranti serta pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) & memori.

"Segmen SEBU kekal sebagai tulang belakang kepada kisah pertumbuhan Mi Technovation. Peningkatan tempahan daripada sektor mobiliti dan peranti mencerminkan kekuatan produk kumpulan serta perubahan industri ke arah peranti yang lebih pintar, pantas dan saling berhubung,” katanya dalam satu nota kajian.

PublicInvest berkata, kumpulan itu juga optimis mengenai prestasi berterusan dalam segmen HPC & Memori, disokong peningkatan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) di seluruh dunia yang memerlukan GPU berprestasi tinggi dan teknologi memori berjalur lebar tinggi.

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM2.47, disokong pelaksanaan yang kukuh, peningkatan penguasaan pasaran dan inovasi berterusan merentas unit perniagaannya.

Walaupun segmen perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) dijangka mencatat pertumbuhan sederhana, fokus pengurusan kekal pada pengembangan operasi SEBU dan memanfaatkan kekuatan teknologi untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam segmen semikonduktor berpotensi tinggi.

Dengan 3QFY25 semakin hampir, tumpuan kini terarah kepada keupayaan Mi Technovation untuk mengekalkan momentumnya dan mencatat satu lagi suku tahun yang mencatatkan rekod, berteraskan asas perniagaan yang kukuh dan sokongan arus perkembangan industri.- DagangNews.com

standard