Keuntungan jualan tanah di Shah Alam dan Johor Bahru dijangka lonjak pendapatan SP Setia pada 2HFY24, kata MIDF Research

LocalBusiness & Finance
15 Aug 2024 • 9:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan jualan tanah di Shah Alam dan Johor Bahru dijangka lonjak pendapatan SP Setia pada 2HFY24, kata MIDF Research

azan

15/08/2024 - 09:38

KUALA LUMPUR 15 Ogos - MIDF Research meramalkan prospek pendapatan SP Setia Bhd pada 2HFY24 disokong pengiktirafan keuntungan jualan tanah di Setia City, Shah Alam dan Taman Pelangi, Johor Bahru.

Katanya, jumlah hasil jualan daripada kedua-dua tanah itu ialah sekitar RM396 juta yang menghasilkan keuntungan RM198 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan yang lebih tinggi pada 1HFY24 disebabkan keuntungan jualan tanah sebanyak RM371 juta hasil daripada penjualan tanah di Taman Pelangi dan Estet Glengowrie.

"Pendapatan bersih teras 2QFY24 melonjak kepada RM239.9 juta apabila pendapatan meningkat oleh jualan tanah Taman Pelangi Indah sebanyak RM564 juta.

"Selain itu, pendapatan juga dibantu oleh kadar cukai yang lebih rendah sebanyak 33% pada 2QFY24 daripada 48% pada 1QFY24.

"Sementara itu, prestasi pembangunan hartanah kekal stabil yang mengimbangi prestasi kerjasama yang lebih lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

MIDF Research berkata, jumlah jualan baharu pada 1HFY24 berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan baharu sebanyak RM4.4 bilion untuk FY24 kerana jumlah jualan pada separuh pertama merangkumi 52% daripada sasaran jualan baharu.

Katanya, projek tempatan kekal sebagai penyumbang jualan utama kerana ia menyumbang 96% daripada jualan pembangunan.

"Prospek jualan baharu dijangka kekal stabil dengan projek utama iaitu Setia Federal Hill (GDV: RM1.4 bilion) dijangka diumumkan pada 4QFY24," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.72 sesaham. - DagangNews.com