Keuntungan MR DIY dijangka naik 12.8% setahun disokong pengukuhan ringgit, promosi serta bantuan tunai kerajaan – CGSI

LocalBusiness & Finance
9 Jan 2026 • 11:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan MR DIY dijangka naik 12.8% setahun disokong pengukuhan ringgit, promosi serta bantuan tunai kerajaan – CGSI image is not available liza09/01/2026 - 11:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Jan – MR DIY dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh bagi tempoh FY24 hingga FY27, walaupun terdapat beberapa cabaran termasuk pertumbuhan jualan kedai sedia ada (SSSG) yang lemah dan cawangan KKV yang dijangka belum menyumbang keuntungan besar, menurut CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih teras MR DIY dijangka meningkat dengan kadar tahunan 12.8% disokong oleh faktor makro seperti promosi, pemberian tunai kerajaan, kenaikan gaji kakitangan awam serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

“Syarikat masih merancang untuk membuka kedai baharu, tetapi lebih selektif dari segi lokasi dan format bagi memastikan setiap kedai baharu mencapai pulangan modal yang disasarkan. 

 

“Pengukuhan Ringgit Malaysia berbanding mata wang China dan Amerika Syarikat serta leverage perolehan yang lebih tinggi membolehkan syarikat melaksanakan lebih banyak kempen dan promosi, yang dijangka meningkatkan jualan kedai sedia ada dan hasil keseluruhan,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Pada harga saham semasa RM1.54, pasaran dilihat telah mengambil kira senario paling lemah, termasuk SSSG negatif tiga peratus dan tiada keuntungan daripada KKV. 

 

Namun, CGSI berkata sekiranya syarikat dapat mencapai sasaran asas dengan SSSG antara 0-3 peratus dan KKV menyumbang keuntungan RM44 juta menjelang FY27, harga saham berpotensi naik kepada RM2.09, memberikan kenaikan sekitar 35 peratus. 

 

“Dalam senario lebih optimis, harga saham boleh meningkat sehingga 61 peratus,” katanya.

 

MR DIY kini diniagakan pada P/E CY26F 19.6 kali, jauh lebih rendah berbanding rakan global Dollarama pada 40 kali dan dividen dijangka meningkat antara empat hingga lima peratus setahun bagi tempoh FY25 hingga FY27, sekali gus memberikan sokongan tambahan kepada pelabur.

 

Syarikat juga terus memberi tumpuan kepada aspek kelestarian, termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 11.2 peratus daripada keseluruhan tenaga, walaupun terdapat ruang penambahbaikan dalam pengurusan air, rantaian bekalan dan kepelbagaian pekerja.

 

CGSI turut mengekalkan saranan tambah bagi saham MR DIY dengan sasaran harga RM2.09, menekankan bahawa pemulihan SSSG dan sumbangan keuntungan KKV adalah pencetus utama untuk kenaikan harga saham. 

 

Risiko utama termasuk sentimen pengguna yang lemah serta margin keuntungan yang mungkin menurun. - DagangNews.com

Terkini standard