Keuntungan PETRONAS Gas meningkat 40.6% kepada RM658 juta pada suku ketiga, umum dividen 18 sen

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan PETRONAS Gas meningkat 40.6% kepada RM658 juta pada suku ketiga, umum dividen 18 sen Image from: Keuntungan PETRONAS Gas meningkat 40.6% kepada RM658 juta pada suku ketiga, umum dividen 18 sen liza19/11/2026 - 14:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – PETRONAS Gas Berhad (PGB) mencatatkan peningkatan keuntungan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY26) sebanyak 40.6% kepada RM657.48 juta berbanding RM467.69 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh sumbangan keuntungan lebih tinggi daripada syarikat usaha sama serta margin lebih baik daripada segmen pengangkutan gas dan penjanaan semula gas asli cecair (LNG).

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan bagi suku berkenaan susut sedikit sebanyak 0.7% kepada RM1.61 bilion berbanding RM1.62 bilion sebelumnya, terutama susulan penurunan jualan daripada segmen utiliti berikutan permintaan lebih rendah.

 

Keuntungan kasar pula meningkat 17% kepada RM633.24 juta berbanding RM541.21 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 30.1% kepada RM791.10 juta daripada RM608.15 juta.

 

Keuntungan sembilan bulan meningkat 11.1%

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama 2026 (9MFY26), PGB merekodkan keuntungan bagi tempoh sebanyak RM1.60 bilion, meningkat 11.1% berbanding RM1.44 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan berkurangan 2.3% kepada RM4.69 bilion daripada RM4.80 bilion, terutama disebabkan hasil lebih rendah daripada segmen utiliti susulan aktiviti penutupan operasi yang dirancang bagi tujuan kawal selia serta penurunan harga produk stim sejajar dengan harga gas bahan api lebih rendah.

 

Keuntungan kasar bagi tempoh itu meningkat 3.6% kepada RM1.75 bilion berbanding RM1.69 bilion, manakala PBT bertambah 8.2% kepada RM1.96 bilion daripada RM1.82 bilion.

 

Peningkatan keuntungan turut disokong oleh sumbangan keuntungan syarikat usaha sama yang meningkat, terutamanya susulan pembalikan peruntukan selepas sebuah syarikat usaha sama menyelesaikan tunggakan penghutangnya melalui penyelesaian sekali sahaja. 

 

Bagaimanapun, prestasi itu sebahagiannya diimbangi keuntungan lebih rendah daripada pelaburan dana, terutama disebabkan penempatan dana yang berkurangan.

 

Pengangkutan gas dan LNG pacu pertumbuhan

Mengikut segmen, pengangkutan gas mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 13.1% kepada RM964.9 juta bagi sembilan bulan pertama 2026 berbanding RM853.2 juta sebelumnya.

 

Peningkatan itu didorong tarif lebih tinggi dalam tempoh kawal selia ketiga (RP3), disokong pertambahan asas aset terkawal susulan pelaksanaan projek dalam tempoh kawal selia kedua (RP2). Keuntungan kasar segmen itu turut meningkat 23.9% kepada RM469.6 juta.

 

Segmen penjanaan semula LNG pula merekodkan peningkatan hasil 5.7% kepada RM1.07 bilion berbanding RM1.02 bilion, disumbangkan perkhidmatan penyimpanan LNG di Pengerang, Johor yang bermula pada Ogos 2025 serta hasil perkhidmatan penjanaan semula lebih tinggi susulan peningkatan tarif RP3.

 

Keuntungan kasar segmen berkenaan meningkat 14.4% kepada RM517.9 juta berbanding RM452.8 juta, sejajar dengan hasil lebih tinggi serta perbelanjaan operasi lebih rendah, terutama susulan aktiviti penyelenggaraan yang berkurangan.

 

Segmen utiliti berdepan penurunan hasil

Sebaliknya, segmen utiliti merekodkan penurunan hasil sebanyak 17.5% kepada RM1.26 bilion berbanding RM1.53 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Kemerosotan itu berpunca daripada jumlah jualan lebih rendah susulan aktiviti penutupan operasi yang dirancang bagi tujuan kawal selia, selain harga produk stim lebih rendah sejajar penurunan harga gas bahan api.

 

Keuntungan kasar segmen itu turut merosot 26.7% kepada RM153.1 juta berbanding RM208.8 juta. Sementara itu, segmen pemprosesan gas mencatatkan hasil RM1.39 bilion, susut 0.8% berbanding RM1.40 bilion, dengan keuntungan kasar berkurangan 6.1% kepada RM605.9 juta.

 

Dalam perkembangan lain, lembaga pengarah meluluskan dividen interim ketiga sebanyak 18 sen sesaham biasa, berjumlah RM356.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Jumlah dividen interim yang diisytiharkan bagi tahun kewangan itu setakat ini ialah 50 sen sesaham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved