hamden17/11/2026 - 12:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov – Duopharma Biotech Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 23.95% kepada RM27.98 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY26), berbanding RM22.57 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong terutamanya oleh margin keuntungan kasar lebih tinggi hasil campuran produk yang lebih baik serta kos bahan aktif farmaseutikal (API) import yang lebih rendah susulan pengukuhan ringgit.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, peningkatan kecekapan pengeluaran dan operasi, pengurangan hapus kira stok serta kerugian kemerosotan nilai yang lebih rendah turut menyokong prestasi kewangan suku berkenaan.
Selain itu, kos kewangan bersih yang lebih rendah turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan kumpulan.
Keuntungan sembilan bulan meningkat 29.5%
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), keuntungan bersih Duopharma Biotech melonjak 29.5% kepada RM88.56 juta berbanding RM68.42 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 29.3% kepada RM116.39 juta, sekali gus melepasi keseluruhan PBT tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak RM114.91 juta.
Bagaimanapun, hasil kumpulan bagi Q3FY26 menyusut kepada RM210.05 juta berbanding RM222.49 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan, hasil turut berkurangan 2.1% kepada RM692.29 juta berbanding RM707.01 juta sebelumnya, susulan penormalan jualan insulin sektor awam selepas mencatatkan jualan luar biasa tinggi pada separuh pertama FY25.
Optimis secara berhati-hati terhadap prospek FY26
Mengulas prospek, Duopharma Biotech kekal optimis secara berhati-hati untuk mencatatkan prestasi memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Kumpulan itu berkata, prospek industri farmaseutikal tempatan disokong peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 2.52% kepada RM47.7 bilion dalam Belanjawan 2027.
Selain itu, kumpulan menerima notis pelanjutan bagi pembekalan 97 produk di bawah senarai APPL bernilai RM684.15 juta untuk tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2027.
Duopharma Biotech turut memperoleh tiga kontrak pembekalan insulin KKM dengan nilai gabungan kira-kira RM225.85 juta.
Daripada jumlah itu, kontrak pembekalan Recombinant Human Insulin bernilai RM155.27 juta melibatkan tempoh tiga tahun sehingga 2 Jun 2029.
Perluas portfolio menerusi kerjasama vaksin
Dalam usaha memperluas portfolio perniagaan, kumpulan turut memeterai perjanjian eksklusif selama lima tahun dengan Enimmune Corporation bagi pengedaran dan penjualan vaksin.
Perjanjian itu dijangka memperluas kehadiran Duopharma Biotech dalam segmen kesihatan pencegahan.
Kumpulan berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, kawalan kos dan pengukuhan rantaian bekalan bagi memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan. - DagangNews.com






