Keuntungan PGF Capital dianggar susut pada 4QFY25 akibat faktor bermusim, tekanan pasaran - TA Securities

15/04/2025 - 15:32
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 15 April - Pengeluar produk penebat berpangkalan di Pulau Pinang, PGF Capital Bhd diramal mencatatkan penyusutan keuntungan pada 4QFY25, disebabkan faktor bermusim, kekangan kapasiti yang masih berterusan dan tekanan pasaran.
TA Securities berkata, prestasi tahun ke tahun juga dijangka kekal sederhana, dengan menyatakan kekangan kapasiti pengeluaran merupakan faktor utama yang menghalang pertumbuhan keuntungan.
“Kami menjangkakan keuntungan suku tahunan akan berada antara RM3 juta hingga RM6 juta, mewakili pertumbuhan tahun ke tahun masing-masing antara 107% hingga 129%,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan kumpulan itu akan mengisytiharkan dividen akhir seperti biasa antara 1 hingga 1.5 sen sesaham.
TA Securities mengekalkan unjuran positif terhadap prestasi tahunan PGF Capital, dengan menjangkakan kumpulan itu akan mencatatkan pertumbuhan melebihi 100% secara kumulatif, terutamanya disebabkan ketiadaan kerugian permulaan yang menjejaskan keputusan pada separuh pertama tahun kewangan 2024, susulan pengoperasian gudang baharu mereka.
Sementara itu, dari segi harga, harga jualan bagi produk utama PGF iaitu bulu kaca dijangka kekal tinggi pada RM6 sekilogram bagi suku keempat.
Namun begitu, risiko luaran masih wujud apabila pihak pengurusan syarikat menyatakan, jika tarif timbal balik sebanyak 145% terhadap bulu kaca dari China berterusan, lebihan bekalan dari China mungkin dialihkan ke pasaran Asia Tenggara, di mana kumpulan itu mempunyai pendedahan sebanyak 20%.
Dalam perkembangan yang lebih positif, pasaran terbesar PGF iaitu Australia — yang menyumbang kira-kira 70% daripada jualan PGF — dijangka kekal kukuh disebabkan spesifikasi produk unik dan keperluan kualiti yang ditetapkan oleh pembina Australia, yang menjadikan penggantian produk lebih sukar.
Keadaan pasaran yang lebih luas juga telah memberi tekanan ke atas harga saham PGF, di mana syarikat mencatatkan penurunan sebanyak 21% setakat tahun ini, selari dengan kejatuhan keseluruhan pasaran ekuiti Malaysia, di mana indeks FBMKLCI telah susut sebanyak 9.8% setakat tahun ini.
TA Securities mengaitkan penyusutan itu dengan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur runcit selepas prestasi kukuh kumpulan pada tahun lalu.
Walaupun berdepan cabaran jangka pendek, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “beli” terhadap PGF Capital, dengan harga sasaran (TP) RM3.00 dan tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027.- DagangNews.com
standard
