TA Securities menilai harga saham WTEC Group yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 sen

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2025 • 11:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities menilai harga saham WTEC Group yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 sen

image is not available

15/04/2025 - 11:24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - TA Securities memberikan nilai wajar kepada WTEC Group Bhd pada 28 sen sesaham.

Penilaian tanpa penarafan itu adalah lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 April 2025.

Katanya, penilaian itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 12.7 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2025 (FY25).

"PER yang diperuntukkan sebanyak 12.7 kali menggambarkan diskaun 10% kepada purata wajaran bagi rakan serantau yang setanding dalam sektor ini, dengan mengambil kira permodalan pasaran WTEC yang lebih kecil," katanya dalam satu nota kajian.

Pada harga IPO sebanyak 25 sen sesaham, WTEC dinilai pada nisbah PER sebanyak 12.8 kali EPS teras bagi tahun kewangan 2024 (FY24), dengan permodalan pasaran sebanyak RM120 juta.

WTEC mengeluarkan dan memperdagangkan produk busa dan fabrik bukan tenunan yang digunakan dalam pelbagai industri, termasuk automotif, elektronik dan pembinaan.

Produk-produknya merangkumi pelapik tempat duduk, bahan penebat elektronik, dan busa teknikal.

Pada FY24, WTEC mencatatkan hasil sebanyak RM52.03 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM8.2 juta, dengan margin kasar sebanyak 38.6%.

Industri automotif menyumbang kira-kira 36.1% daripada hasil syarikat, manakala 33.4% datang daripada sektor elektrik dan elektronik.

Dari segi geografi, Malaysia menyumbang 76% daripada jualan WTEC, diikuti oleh Vietnam sebanyak 12%, manakala sumbangan lebih kecil datang dari Australia, Thailand dan pasaran eksport lain.

Syarikat merancang untuk mengumpul RM22.54 juta melalui IPO. Daripada jumlah itu, RM9.42 juta atau 41.8% akan digunakan untuk membeli dan mengubah suai kilang baharu, manakala RM3 juta atau 13.3% diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu.

Alliance Islamic Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal, dan ejen penempatan untuk penyenaraian itu.- DagangNews.com

standard