MSB Global susut 15% kepada 17 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE

15/04/2025 - 10:34
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 15 April - Pengedar alat ganti kenderaan, MSB Global Group Bhd membuat penampilan sulung yang mengecewakan di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga 17 sen atau 15% lebih rendah berbanding tawaran awan permulaan (IPO) sebanyak 20 sen sesaham.
Saham kumpulan itu merosot sehingga 16.5 sen sebelum mengurangkan kerugian kepada 18 sen pada pukul 9.05 pagi selepas hampir 14 juta saham bertukar tangan.
Pada harga terakhir itu, MSB Global mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM104 juta.
Keputusan ini berlaku walaupun pasaran secara keseluruhan terus pulih daripada ketegangan tarif Amerika Syarikat (AS). Jika harga semasa kekal, MSB Global akan menjadi penyenaraian keenam berturut-turut sejak Mac yang mengalami penurunan pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE.
Permintaan pelabur semasa pelancaran IPO, yang berjaya mengumpul RM41.4 juta, juga agak lemah dengan permohonan daripada pelabur runcit hanya sekitar enam kali ganda daripada jumlah saham yang ditawarkan untuk langganan.
Pengarah Urusan MSB Global, Datuk Ow Kee Foo berkata, penampilan sulung kami di Pasaran ACE mewakili lebih daripada sekadar pencapaian kewangan, ia merupakan lonjakan strategik ke hadapan untuk pertumbuhan kumpulan.
"Dengan modal yang diperoleh, kami akan meningkatkan infrastruktur pengeluaran, meluaskan penawaran produk dan terus memacu inovasi dalam kedua-dua segmen automotif selepas pasaran," katanya dalam satu kenyataan.
MSB Global merupakan pengedar alat ganti dan komponen automotif berjenama GSP di Malaysia termasuk aci pemacu, pemasangan hab roda, bahagian penyerap hentakan dan rak stereng.
Syarikat memperuntukkan 22.58% daripada jumlah hasil terbitan awam untuk membeli jentera dan peralatan baharu, kira-kira 18.7% untuk pembinaan kilang dan gudang baharu, dan 3.14% lagi untuk pengecas kenderaan elektrik (EV) dalaman baharunya.
MSB Global juga akan memperuntukkan 20.67% untuk pembayaran balik pinjaman bank, manakala baki selebihnya akan digunakan untuk modal kerja am dan menampung perbelanjaan penyenaraian.
Penawaran saham sedia ada melalui penempatan persendirian pula berjaya mengumpul RM14.8 juta yang sepenuhnya diberikan kepada pengarah urusan Datuk Ow Kee Foo, pengarah eksekutif Lai Swee Ping, dan Lee Li Lian, isteri kepada salah seorang pengarah anak syarikat MSB Global.
M&A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com
standard
