
SEREMBAN - Kemampuan Barisan Nasional (BN) menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dipersoalkan, selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya merekodkan nilai pelaburan yang hampir menyamai sasaran lima tahun dijanjikan gabungan itu.
Membangkitkan perkara tersebut, Menteri Besar sementara, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, manifesto BN yang menyasarkan kemasukan pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun wajar dinilai berdasarkan pencapaian sebenar Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, pentadbiran PH sebelum ini bukan sahaja berjaya memenuhi, malah melepasi jangkaan dalam tempoh yang jauh lebih singkat.
Katanya, Negeri Sembilan merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM19.1 bilion sepanjang 2025, manakala tambahan RM13 bilion lagi berjaya diperoleh dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Dalam tempoh hanya satu tahun enam bulan, kita sudah mencapai angka yang hampir sama dengan apa yang mereka janjikan untuk tempoh lima tahun. Cuba bayangkan.
“Adakah mereka mahu membawa negeri ini ke belakang atau ke hadapan? Apakah sebenarnya perancangan mereka untuk anak-anak dan cucu-cucu kita?” katanya ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama masyarakat India di Air Kuning di sini.
Aminuddin turut menggesa pengundi menilai sesebuah kerajaan berdasarkan aspek perancangan, pelaksanaan serta pencapaian yang dapat dibuktikan, bukan sekadar janji ditawarkan ketika kempen pilihan raya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempertahankan strategi pembangunan sektor pelancongan negeri dengan menyatakan, usaha mempromosikan warisan, makanan tradisional serta produk eko-pelancongan Negeri Sembilan tidak seharusnya menjadi sasaran kritikan pihak lawan.
Katanya, inisiatif pembangunan di kawasan seperti Kuala Pilah dan Jelebu dirancang secara teliti bagi memastikan khazanah alam semula jadi serta identiti budaya negeri terus dipelihara, di samping membuka peluang ekonomi baharu menerusi pelancongan lestari.
“Hari ini kita mempromosikan masakan Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api. Kita memperkenalkan kepada dunia betapa istimewanya hidangan ini.
“Di Jelebu pula, kita memperkenalkan Hutan Simpan Kenaboi dan membangunkan kawasan itu sebagai destinasi rekreasi. Tidak perlu menebang hutan kerana hutan itulah yang menjadi penyumbang kepada hasil negeri,” katanya.
Beliau pada masa sama mendakwa, pihak pembangkang lebih mengutamakan usaha mendapatkan kuasa politik berbanding mengemukakan visi yang jelas bagi pembangunan masa depan Negeri Sembilan.
“Mereka hanya memikirkan satu perkara, dan saya sendiri tidak tahu apa. Apa yang mereka mahukan hari ini hanyalah kuasa,” katanya. - Getaran, 27 Julai 2026






