Peningkatan hasil negeri usaha pentadbiran PH

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 10:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peningkatan hasil negeri usaha pentadbiran PH

PORT DICKSON: Peningkatan pelaburan dan hasil Negeri Sembilan yang direkodkan ketika ini adalah hasil usaha pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui peranan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kestabilan politik negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, pencapaian nilai pelaburan yang tinggi ketika ini bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya hasil perancangan dan usaha yang dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang lalu.

“Namun, usaha menarik pelaburan termasuk aktiviti promosi industri dilaksanakan bersama Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Siong.

“Kita sudah bekerja lima tahun sebelum itu. Saya Exco Pelaburan, manakala Exco Perindustrian pula saudara Teo. Jadi saya tidak tahu kalau dia Exco Pertanian (Jalaluddin) kata dia menyumbang dalam bahagian mana. RM19 bilion itu tidak termasuk pelaburan pertanian.

“Memang BN menyumbang kepada kestabilan ketika itu, tetapi usaha promosi dilakukan oleh saya dan Teo Kok Siong selaku Exco Industri. Saya pula memegang portfolio Pelaburan,” katanya selepas program ramah mesra bersama masyarakat India di Air Kuning, Port Dickson, malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyifatkan BN sebagai ‘rakan kongsi’ dalam peningkatan nilai pelaburan dan hasil negeri dan bukannya hasil usaha PH semata-mata.

Selain itu katanya, ia turut dipacu peranan wakil rakyat BN yang memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada penggal lalu.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, persamaan tawaran dalam manifesto BN dan Perikatan Nasional (PN) dengan manifesto PH menunjukkan kedua-dua gabungan itu menerima pendekatan yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini.

“Memang mereka salin (copy paste) daripada PH menunjukkan mereka menerima dan mengakui apa yang PH buat adalah yang terbaik. Kalau kita lihat apa yang mereka lakukan, serupa,” katanya. – UTUSAN

The post Peningkatan hasil negeri usaha pentadbiran PH appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved