Kewangan kukuh, rangkaian luas jadikan sindiket dadah ‘kebal’

LocalPolitics
9 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kewangan kukuh, rangkaian luas jadikan sindiket dadah ‘kebal’

PETALING JAYA: Rangkaian luas serta kekuatan kewangan besar dimiliki sindiket menjadi antara faktor kegiatan penyeludupan dadah terus berlaku di negara ini khususnya di lapangan terbang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket terbabit bukan sahaja sudah lama beroperasi malah semakin berkembang daripada segi rangkaian yang membolehkan mereka meneruskan kegiatan walaupun berdepan tindakan penguatkuasaan.

“Sindiket-sindiket ini bertambah, sudah bertapak lama dan mereka mempunyai rangkaian dalaman dan juga di luar negara,” katanya dalam siaran podcast bersama Utusan Malaysia yang disiarkan semalam.

Hussein berkata, kekuatan kewangan sindiket adalah besar sehingga membolehkan mereka meneruskan operasi walaupun sebahagian daripada bekalan dirampas dan anggota sindiket ditangkap.

“Walaupun kita rampas, tangkap dan sebagainya, kerana kekuatan yang besar pada sindiket-sindiket ini mereka boleh terus melakukan operasi-operasi ini.

“Mereka menggunakan pelbagai cara lain. Kalau hari ini kita tangkap, merampas satu tan misalnya, mereka mempunyai kemampuan menghantar satu tan yang sama pada hari keesokannya, mungkin menggunakan laluan lain.

“Mereka mempunyai keupayaan sebegitu. Sebab itu benda ini tidak putus-putus,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan masih terdapat kelompongan dalam sistem kawalan sempadan yang dieksploitasi bagi membawa masuk serta mengeluarkan bahan terlarang dari negara ini.

Menurutnya, bukan sahaja warga Malaysia malah warganegara asing turut datang ke negara ini bagi mendapatkan bekalan sebelum cuba membawanya keluar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, walaupun tangkapan berkaitan kegiatan penyeludupan dadah berlaku hampir setiap hari, kegiatan tersebut masih berterusan kerana sindiket terbabit sentiasa mencari ruang dan mengeksploitasi kelemahan dalam sistem kawalan sedia ada.

“Baru-baru ini kita dapati banyak tangkapan berlaku di KLIA. Adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan kegiatan berkenaan semakin meningkat, antara lain disebabkan masih ada kelompongan dan kelemahan dari segi penguatkuasaan.

“Walaupun mereka ada ruang sedikit, mereka menggunakan kelompongan yang sedikit ini untuk pengedaran dadah, dibawa masuk dan juga dibawa keluar,” ujarnya.

Bagaimanapun, Hussein menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berputus asa dalam membanteras kegiatan berkenaan.

Sebaliknya, PDRM akan meneruskan usaha sedia ada dengan meningkatkan penguatkuasaan, memperkukuh risikan serta melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket dadah.

“Bagaimanapun, kami tidak berputus asa. PDRM akan teruskan apa yang kami buat sekarang ini untuk tingkatkan penguatkuasaan, risikan dan juga melumpuhkan kewangan, kekuatan kewangan mereka,” katanya. – UTUSAN

The post Kewangan kukuh, rangkaian luas jadikan sindiket dadah ‘kebal’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved