
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar sepasukan pegawai penyiasat ke Jakarta minggu depan, bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam mengesan rangkaian sindiket di sebalik kes penyeludupan dadah membabitkan seorang juruterbang warga Malaysia.
Pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu dijadual berada di Indonesia bermula 11 hingga 15 Ogos, bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung sindiket yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Perkembangan itu susulan siasatan dijalankan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia terhadap juruterbang berusia 39 tahun, yang ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas dipercayai cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah ke negara berkenaan.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan akan memberi tumpuan kepada sumber bekalan dadah, modus operandi sindiket serta kemungkinan wujud hubungan antara suspek dengan rangkaian pengedaran dadah di Indonesia.
Menurut beliau, pihaknya mahu meneliti keseluruhan rantaian kes termasuk asal-usul bekalan dadah, individu terlibat, bagaimana suspek dipercayai berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), serta kaitan dengan sindiket yang beroperasi di Indonesia.
“Malaysia tidak akan memohon ekstradisi buat masa ini. Kami akan terus menerima perkembangan siasatan daripada Polis Negara Indonesia (Polri), namun suspek perlu menjalani proses undang-undang di sana terlebih dahulu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut mengambil keterangan daripada dua anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di KLIA bagi membantu siasatan berhubung bagaimana suspek berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan lapangan terbang.
Bagaimanapun, Hussein menjelaskan, tiada tangkapan dibuat ke atas kedua-dua anggota terbabit selepas siasatan awal mendapati mereka tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan suspek.
Pada masa sama, polis turut menyiasat kemungkinan wujud kaitan antara kes juruterbang tersebut dengan penahanan seorang lagi lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.
“Siasatan terhadap kes di Surabaya menjadi lebih rumit apabila sindiket dipercayai menggunakan identiti pihak ketiga untuk mendaftarkan nombor telefon.
“Mereka juga memanfaatkan platform media sosial bagi menjalankan kegiatan mereka tanpa dikesan pihak berkuasa,” katanya. - Getaran, 6 Ogos 2026





